PLATFORM penstriman video, Viu, sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai hab kandungan berkualiti dengan melancarkan naskhah Viu Original terbaharunya berjudul Aku Pilih Pelangi (The Colour of Us).
Siri yang sarat dengan air mata dan konflik emosi ini telah diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis tayangan perdana yang dihadiri barisan pelakon serta penggiat industri baru-baru ini.
Menerusi 12 episod yang penuh debaran, siri ini menampilkan gandingan hebat antara bintang popular Mira Filzah, pelakon berkaliber Zahiril Adzim, dan Noki K-Clique.
Mula menemui penonton pada 16 April, drama ini bakal disiarkan setiap hari Khamis dan Jumaat secara eksklusif di aplikasi Viu.
Diterbitkan oleh Global Film Station di bawah arahan sutradara Riza Baharudin, Aku Pilih Pelangi memaparkan realiti pahit sebuah perkahwinan yang diuji oleh takdir yang tidak dijangka.
Kisah bermula apabila Firdaus (Zahiril Adzim), seorang arkitek yang berjaya, tiba-tiba kehilangan penglihatannya akibat penyakit jarang berlaku.
Perubahan drastik ini memaksa isterinya, Nayla (Mira Filzah), untuk menggalas tanggungjawab berat sebagai ketua keluarga.
Bagi memudahkan pergerakan suaminya, Nayla membina sistem tali panduan berwarna merah di serata rumah.
Namun, apa yang menarik dalam naratif ini adalah bagaimana “tali merah” tersebut hanya mampu memandu fizikal Firdaus, tetapi gagal meredakan keletihan mental dan beban emosi yang ditanggung oleh Nayla.
Konflik memuncak apabila Nayla mula mencari ketenangan daripada tekanan hidup bersama Iskandar (Noki K-Clique), rakan sekolah lamanya yang muncul kembali.
Kehadiran Iskandar yang pada mulanya sekadar memberi sokongan moral, lama-kelamaan mula mencabar kesetiaan Nayla terhadap Firdaus.
Drama ini menandakan kemunculan semula Mira Filzah di platform Viu selepas kejayaan siri Gadis Masa.
Ketiga-tiga teraju utama ini mempertaruhkan lakonan yang sangat mendalam, mengupas dilema antara tanggungjawab sebagai isteri dan keperluan emosi diri sendiri.
“Naskhah ini sebenarnya melangkaui kisah romantik biasa. Ia mengangkat realiti sebenar dalam sebuah perkahwinan apabila diuji dengan perubahan besar yang mendadak serta bagaimana tekanan emosi boleh mempengaruhi keputusan dalam perhubungan.
“Kami ingin memaparkan sisi manusiawi tentang cinta, pengorbanan, dan persoalan sama ada kasih sayang masih mampu bertahan dalam kegelapan yang panjang,” jelas pihak produksi mengenai inti pati siri ini.
Sesuai dengan pelaksanaan arahan Work From Home (WFH) oleh kerajaan bermula 15 April, Viu mengambil inisiatif untuk memberikan kegembiraan kepada penonton di rumah dengan memperkenalkan diskaun 50 peratus bagi pelan langganan bulanan.
Penonton kini boleh menikmati kandungan premium termasuk siri Aku Pilih Pelangi pada harga serendah RM10.95 untuk dua bulan pertama.
Tawaran ini bertujuan memberikan akses hiburan berkualiti tinggi buat rakyat Malaysia sepanjang tempoh bekerja dari rumah.
Bagi peminat drama Melayu yang mahukan sesuatu yang lebih daripada sekadar cinta fantasi, drama ini adalah pilihan yang tepat untuk ditonton.
Adakah Nayla akan terus setia bersama suaminya yang buta, atau memilih pelangi baharu yang hadir dalam hidupnya? Jawapannya hanya di Viu!

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

