PENGANJUR Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) keenam meluahakn hasrat ingin mengundang bintang Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh bagi memeriahkan acara berprestij yang bakal diadakan pada 23 hingga 29 Julai depan di Kuala Lumpur.
Presiden MIFFest, Joanne Goh berkata, pihaknya amat berharap jika anak kelahiran Ipoh, Perak itu dapat hadir ke MIFFest kerana dijangka ia akan memberi reaksi positif selain dapat memberi inspitasi kepada anak seni yang hadir pada malam kemuncak acara terbabit.

“Saya pernah mengundangnya ke MIFFest, beberapa tahun lalu tapi dia tidak dapat memenuhi undangan kerana selalunya tarikh penganjuran festival bertembung dengan jadual penggambaran filem.
“Saya belum lagi menghantar undangan, namun akan cuba menjemputnya sekali lagi, tahun ini. Sejujurnya, ini merupakan kali keempat menjemputnya tapi masih belum ada rezeki kami. Saya harap Michelle dapat pulang ke Malaysia pada tarikh MIFFest.
“Saya juga tidak sabar melihat Michelle di Anugerah Akademi atau Oscar. Saya harap Malaysia boleh menang. Buat masa ini kita bagi sokongan dulu kepada Michelle untuk Oscar,” katanya kepada URTV.
Joanne berkata demikian ketika ditemui pada sidang media MIFFest yang diadakan baru-baru ini di ibu negara.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai pemilihan Bront Palare untuk kali keempat, kata Joanne, aktor berbakat besar itu memiliki karakter dan impian sama sepertinya iaitu mahu memperkenalkan Malaysia ke seluruh negara.
“Saya dan Bront berkongsi matlamat yang sama. Misi kami untuk mempromosikan seni dan budaya Malaysia ke serata dunia.
“Kami juga mahu MIFFest dikenali di peringkat antarabangsa. Hasrat kami setiap Julai, akan ada ramai penggiat industri perfileman dari luar negara datang ke Malaysia untuk menghadiri festival ini,” ulasnya.’
MIFFest menerima lebih 300 penyertaan daripada seluruh dunia termasuklah Eropah dan negara-negara Asia.
“Kami bangga sebab MIFFest semakin dikenali dan meraih banyak kepercayaan banyak pihak.
“Bagi penyertaan dari Malaysia, kami terima sekitar 20 buah filem san saya yakin para juri berdepan kesukaran untuk menilai ke semua filem yang dipertandingkan.
“Barisan juri yang boleh saya kongsikan ialah terdiri dari negara Hong Kong, Vietnam dan Malaysia. Tapi saya tak boleh dedahkan siapa juri dari negara kita. Yang pasti dia adalah seorang yang mempunyai nama dalam indsutri dan seorang lelaki.
“Itu semua kami akan kongsikan kepada pihak media pada sidang media yang kedua pada Jun depan,” tuturnya.
MIFFest turut mengumumkan kerjasama dengan BMW Shorties, pertandingan filem pendek paling berprestij yang sudah wujud sejak 17 tahun lalu.
Pemenang hadiah utama BMW Shorties kali ini bakal menerima geran RM80,000 dan hadiah lain.
Beberapa filem yang memenangi pertandingan juga bakal ditayangkan di festival itu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

