Mary J.Fancher atau lebih dikenali sebagai Mollie lahir di Massachuesetts, Amerika Syarikat pada 16 Ogos 1848, sebelum berpindah dan membesar di Brooklyn, New York.
Semasa berusia tujuh tahun, ibunya meninggal dunia. Ayahnya kemudian berkahwin lain dan tidak mempedulikan Mollie. Bersama dua lagi adiknya, Mollie dijaga dan dibesarkan oleh salah seorang ibu saudaranya bernama Susan.
Pada Mei 1864, berlaku kemalangan apabila Mollie tercampak dari kuda yang sedang ditunggangnya. Kepalanya terhantuk pada batu dan tulang rusuknya patah.
Belum hilang trauma insiden jatuh kuda, sekali lagi Mollie ditimpa kemalangan pada tahun berikutnya. Pada Jun 1865 ketika dalam perjalanan pulang setelah membeli barang kelengkapan perkahwinannya, Mollie kemalangan. Bajunya tersangkut pada kenderaan berkuda menyebabkan tubuh gadis itu diseret atas jalan. Akibatnya, Mollie tidak sedarkan diri dan tulang rusuknya patah lagi.
Kesan kemalangan kedua lebih teruk. Mollie tidak lagi mampu bangun. Hanya terbaring di atas katil sepanjang hayatnya. Keadaan itu menyebabkan kekasihnya membatalkan perkahwinan mereka.

Keanehan bermula
Hilang keupayaan fizikal dan hanya terlantar di atas katil, beberapa perkara pelik mula berlaku. Mollie tidak mahu menjamah makanan dan minuman. Sangat jarang dia mahu makan, tapi anehnya tubuhnya masih boleh bertahan.
Pernah dicatatkan Mollie tidak menjamah sebarang makanan selama tujuh minggu. Kebanyakan doktor yang datang memeriksanya turut berasa pelik dan hairan bagaimana tubuh gadis itu masih mampu hidup tanpa makanan untuk jangka waktu yang lama.
Keanehan Mollie mula diperkatakan antara tahun 1866 hingga 1875. Antara waktu itu, kebanyakan masa Mollie hanya berbaring dengan tangannya diletak atas dahi, kakinya dibengkokkan dan matanya tertutup.
Apa yang menghairankan, dalam keadaan begitu Mollie masih mampu menulis sebanyak 6,500 surat, menjahit sulaman, menulis diari dan menghasilkan bunga lilin. Jumlah itu terlalu banyak untuk seorang wanita yang terlantar dengan hanya sebelah tangan boleh digerakkan.

Kisah Mollie bukan hanya popular kerana mampu hidup tanpa makanan untuk jangka waktu yang lama. Namun, gadis ini mendakwa mampu membaca sesuatu dari jarak jauh, membaca minda orang dan meramalkan sesuatu perkara yang akan berlaku.
Kebolehan gadis itu menjadi bualan hangat dan dia dikatakan mempunyai kuasa ghaib. Sekelip mata, kisah Mollie jadi popular sehingga digelar sebagai ‘Brooklyn Enigma’.
Mollie disebut sebagai gadis yang mengalami kemalangan tragik namun bertukar menjadi ajaib. Walaupun hanya terlantar di katil, dia tetap menulis ribuan surat, diari, menghasilkan sulaman dan kraf tangan. Anehnya, kepandaian itu bukan sesuatu yang dimiliki Mollie sebelum dia ditimpa kemalangan.
Keadaan ini berterusan selama sembilan tahun, sehinggalah suatu hari keadaan Mollie berubah dan dia tiba-tiba koma. Apabila sedar kembali, Mollie kelihatan terpinga-pinga melihat orang di sekelilingnya dan tertanya-tanya mengapa mereka nampak lebih tua.
Rupa-rupanya, memori Mollie setelah sedar adalah sama seperti 10 tahun dahulu. Bila ditanya, dia langsung tidak ingat apa yang berlaku sejak kemalangan. Ini termasuklah tulisan dan barangan yang dihasilkannya, tidak diketahuinya langsung.
Kemudian, muncul pula kebolehan baru yang ada kaitan dengan paranormal. Kadangkala tanpa sebab, tiba-tiba mata Mollie jadi ‘buta’, kononnya ketika itu adalah waktu dia melihat sesuatu dari jarak jauh. Gambaran yang muncul dalam kepalanya tentang sesuatu perkara di tempat lain. Dalam dunia mistik, kebolehan Mollie ini disebut sebagai the third eye (mata ketiga).
Waktu ini juga Mollie mula menunjukkan kebolehan menjangka sesuatu yang akan berlaku. Dia mula ‘mengembara’ jauh beratus-ratus kilometer melalui mindanya. Kebanyakan apa yang diberitahu Mollie memang berlaku.
Mollie juga boleh membezakan warna dalam gelap. Dia boleh menemukan objek atau barang yang gagal ditemui pemiliknya. Dia boleh menjangka petir kilat yang akan melanda beberapa jam sebelum ia berlaku. Dia boleh membaca buku dan surat tanpa melihatnya, dengan hanya meraba jarinya di atas tulisan tersebut, seperti orang buta membaca tulisan Braille. Ketika pintu rumah diketuk, Mollie boleh tahu siapa yang datang sebelum pintu itu dibuka.
Kebolehan ajaib ini membuat Mollie jadi popular. Dia dikunjungi ramai pihak termasuk golongan doktor, saintis, penyair, penulis, ahli akademik termasuk paderi yang cuba mencari jawapan terhadap apa yang berlaku, namun gagal menghuraikan bagaimana Mollie mendapat kebolehan begitu.

Suatu hari dalam tahun 1887, Mollie terjatuh dari katil menyebabkan kepalanya terhantuk. Beberapa hari kemudian semasa rakannya datang menziarahinya, Mollie tidak sedarkan diri beberapa ketika. Bila sedar, dia bertanya “awak siapa?” kepada rakannya tadi. Suaranya juga berubah.
Di sini bermula pula cerita baru. Personaliti Mollie mula berubah ubah. Doktor menyebutnya sebagai ‘kekeliruan identiti’. Sepanjang pemerhatian mereka yang merawat Mollie, ada lima personaliti berbeza dalam diri Mollie. Watak pertama digelar sebagai ‘Idol’ yang bersifat agresif.
Watak kedua ialah ‘Rosebud’, yang sifatnya seperti kanak-kanak berusia 6 tahun. Kemudian watak ‘Pearl’ yang digambarkan sebagai seorang wanita elegan yang suka menulis puisi. Selepas itu watak ‘Ruby’ yang digambarkan seorang yang bersifat tomboy dan pemarah. Terakhir watak ‘Sunbeam’ yang dilihat lebih mendekati personaliti sebenar Mollie.
Tahun 1890, tahap kesihatan Mollie semakin baik. Penglihatannya kian terang. Dia sudah mampu menggerakkan tangan dan bahagian atas badannya. Malah, dia sudah boleh makan dan minum seperti orang normal.
Namun, apabila kesihatannya kian baik, didapati kebolehan ajaib Mollie terutama dalam psikik sebelum ini jadi kian menurun dan berkurangan. Pun begitu, wanita ini tetap meneruskan hidup dalam dunianya yang tersendiri.
Pada 3 Februari 1916, Mollie menghembuskan nafas terakhir di usia 68 tahun. Keanehan yang hadir dalam diri Mollie sejak dia terlantar kekal menjadi misteri dan tanda tanya hingga ke hari ini.


_______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare