ENGGAN terus membiarkan dirinya terus menjadi mangsa fitnah, pelakon Uqasha Senrose nekad untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang wanita yang menuduh dirinya kaki buli pada zaman persekolahan.
Jelas Uqasha, dia sudah menyerahkan kes tersebut kepada peguamnya untuk tindakan selanjutnya selain sudah pun membuat laporan polis atas dakwaan palsu berkenaan.
“Berani kerana benar, saya tak takut sikit pun. Saya ambil tindakan undang-undang kerana impak akibat fitnah itu membuatkan ramai tak kenal saya tapi percaya saya kaki buli.
“Orang yang sokong dia pun bukan main lagi menambah-nambah (fitnah) jadi batu api. Anda hanya dengar daripada sebelah pihak sahaja.
“Hanya dengan sekeping gambar dia tuduh macam-macam. Saya pun hairan bagaimana dia boleh fitnah sebegitu. Tak mengapa, sekolah serta guru yang pernah mengajar saya masih ada di situ.
“Cuma saya ajukan perkara ini ke pihak berkuasa sebagai penegasan saya bukan pembuli. Lagi pun saya banyak berpindah sekolah ketika tingkatan lima dulu,” katanya Uqasha menerusi siaran langsung (live) di TikTok, semalam.
Dalam pada itu, Uqasha turut meluahkan rasa kesal kerana individu terbabit tidak sensitif terhadap perasaannya yang baru saja diuji dengan insiden kecederaan parah yang melibatkan suaminya, pelakon Kamal Adli.
“Ini bukan benda kecil sampai saya terpaksa baca benda tak betul dan trending di Twitter. Kalau betul kenapa sekarang baru nak cerita?
“Kak Yongnya saya, kuatnya saya sampai boleh buat awak jadi trauma. Awak tuduh saya kaki buli, talam dua muka sampai buat orang lain nak bunuh diri.
“Apa niat awak? Sampai trending buruknya nama saya orang cakap saya kaki buli. Kenapa sekarang baru nak cerita?” ujarnya.
Walau bagaimanapun, fitnah yang dilemparkan secara terang-terangan di media sosial itu tidak sedikit pun mematahkan emosinya untuk kuat di hadapan suami yang ketika ini dalam proses penyembuhan.
“Awak tak berjaya buat saya lemah, sebaliknya awak buat saya lebih bersemangat. Awak kacau mental saya, jadi siapa buli siapa sekarang?
“Korang yang turut komen macam-macam di Twitter juga seolah-olah sudah kenal lama dengan saya dan sebenarnya korang semua sedang buli siber terhadap saya,” luahnya.
Terdahulu, seorang wanita telah memuat naik ciapan di Twitter mendakwa pernah menjadi mangsa buli Uqasha di sekolah.
Malah, wanita itu turut berkongsi gambar ketika di zaman sekolah bagi membuktikan dia pernah belajar dalam kelas yang sama dengan Uqasha.