PELAKON yang juga isteri kepada aktor Aliff Aziz iaitu Bella Astillah dengan rela hati sudah memaafkan aktres Sophia AlBarakbah yang sebelum ini didakwa mengganggu rumah tangganya.
Walau bagaimanapun, Bella atau Dayang Nabellah Awang Astillah,28, memberitahu, ia tidak bermakna dia sudah melupakan isu tersebut.
“Saya sudah memaafkan dia (Sophia), tapi saya tidak akan melupakan apa yang sudah berlaku itu.
“Sebab itulah sekarang ini saya banyak lakukan aktiviti kekeluargaan. Itu cara untuk saya dan Aliff memperbaiki semula keadaan untuk kembali normal.
“Saya harap lepas ini tidak ada lagi masalah yang timbul tetapi sebagai manusia saya sedar tak boleh nak lari daripada ujian,” katanya kepada URTV.

Bella berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia dan Def Jam Recordings Malaysia bersama pelajar Maahad Tahfiz Darus Syabab di Hotel Royal, Kuala Lumpur, semalam.
Ditanya mengenai pendedahan Sophia yang sebelum ini terang-terangan memberitahu sudah memiliki teman lelaki, ujar Bella, dia mendoakan yang baik-baik buat wanita itu.
“Saya doakan yang terbaik dan hubungan mereka kekal ke syurga. Tapi sebenarnya dah ada teman lelaki atau teman wanita, ia sama macam kita sudah ada isteri atau suami.
“Boleh je nak ada skandal lain, betul tak? Apa-apa pun saya doakan dia bahagia dengan hubungan tersebut sehingga ke alam perkahwinan dan jannah,” ujarnya.
Tiada lagi kerjasama pada masa akan datang!
Sementara itu, Bella menegaskan dia sudah berbincang dengan Aliff untuk tidak lagi bergandingan dengan Sophia pada masa akan datang.
Keputusan itu dirasakan tepat kerana menurut Bella, dia enggan lagi dibayangi kisah-kisah lalu sekaligus membuatkan rumah tangganya kembali goyah.
“Keputusan Aliff dan saya sama. Kami tak akan kerjasama dengan dia lagi dalam lakonan.
“Cukup-cukuplah dalam drama sebelum ini saja. Saya dan Aliff sudah berbincang mengenai perkara ini dan ia keputusan terbaik.
“Aliff pun dah bersetuju untuk tidak lagi terima tawaran lakonan dengan dia. Saya harap hal-hal sebelum ini tidak lagi timbul,” ujarnya.
Tak pernah kongkong
Dalam pada itu, Bella turut mengakui tidak pernah mencampuri urusan kerja Aliff terutama sekali apabila melibatkan heroin sesebuah drama.
Dedah Bella, selama berkahwin dengan Aliff, dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada suaminya untuk menerima sebarang tawaran lakonan yang datang kepadanya.
“Saya tak pernah masuk campur urusan kerja lakonan Aliff. Malah, saya langsung tak pernah ikut dia pergi ke set penggambaran.
“Selepas apa yang terjadi sebelum ini, saya masih bagi ruang kepercayaan kepada Aliff untuk tentukan heroin dia.
“Sebagai contoh untuk drama terbaharunya bersama pelakon Trisha Ooi, naluri seorang isteri seperti saya ini dapat rasakan semuanya dalam keadaan baik-baik sahaja.
“Ia ternyata berbeza dengan sebelum ini. Sebab itu sebagai isteri, kita kena percaya dengan kata hati atau naluri hati yang selalui memang betul dan tepat,” ungkapnya.
Terdahulu, kontroversi mula tercetus selepas Bella mendedahkan seorang pelakon wanita berkali-kali menghubungi telefon bimbit Aliff biarpun di luar waktu kerja.
Walaupun pada awalnya Bella tidak mendedahkan identiti sebenar aktres terbabit, namun netizen terlebih dahulu membuat tekaan jika wanita yang dimaksudkan itu adalah Sophia.
Pada awal Februari lalu, Aliff mendedahkan wanita itu adalah Sophia yang cuba menganggu keharmonian rumah tangganya dengan Bella. Ia terjadi selepas mereka digandingkan dalam drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah untuk slot Akasia TV3.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016, namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh edah.
Mereka kini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 5, dan Ara Adreanna, 2.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

