VIDEO mempromosikan produk makanan yang menampilkan dua pelakon popular iaitu Datin Lisa Surihani dan Beto Kusyairy baru-baru ini telah membuatkan filem lakonan mereka iaitu Istanbul Aku Datang kembali menjadi bualan ramai sehingga tular di media sosial.
Kerjasama mereka itu sekaligus menguak kembali memori 11 tahun lalu saat filem tersebut mencetuskan fenomena dalam industri perfileman negara dek lakonan mantap Lisa dan Beto dalam naskhah arahan Bernard Chauly itu.
“Dejavu kan? Setelah 11 tahun, dia datang balik mengganggu hidup saya”, katanya Lisa menerusi kapsyen yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Menerusi kapsyen itu juga, Lisa turut berkongsi video dirinya dan Beto yang kembali menjayakan watak Dian dan Harris sebagai salah satu kempen mempromosikan produk berkenaan.
Filem romantik komedi yang ditayangkan pada 2012 itu telah meninggalkan kesan kepada penonton hingga ke hari ini. Tak hairanlah kenapa karya tersebut terus kekal relevan sampai sekarang!
Malah, ada juga rakan-rakan artis yang menyatakan mereka menonton filem itu berulang kali tanpa rasa jemu.
“Tok Abah tunggu Istanbul Aku Datang 2 lepas ni.
“Miss the old times, Istanbul Aku Datang.
“Diana and Harris in one screen? Asam laksa ada lagi ke?,” komen netizen di Instagram.
Lebih istimewa lagi, video tersebut turut menampilkan suami Lisa yang juga pelakon, penyanyi dan pengarah iaitu Datuk Yusry Abdul Halim .
Sehingga artikel ini ditulis, video terbabit telah meraih lebih 4.6 juta tontonan di TikTok.

