PROSES sulh di antara pelakon dan pengarah Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle di Mahkamah Syariah Shah Alam tidak bertemu titik noktah pada hari ini.
Perkara itu adalah apabila Diana tidak menghadirkan diri pada proses rundingan berkenaan di Pejabat Sulh mahkamah itu tengah hari tadi.
Peguam Syarie yang mewakili Farid atau Farid Kamil Azahari, 42, selaku plaintiff, Fakhrul Azman Abu Hassan bahawa beliau dimaklumkan oleh Diana tentang ketidakhadirannya ke proses rundingan itu, semalam.
Katanya, alasan tidak dapat hadir yang diberikan oleh Diana kepadanya adalah kerana tidak bersedia berjumpa dengan Farid buat masa ini.
“Mengikut maklumat yang diberikan kepada peguam, dia belum bersedia untuk berjumpa dengan Farid.
“Oleh kerana itu proses sulh ini tidak boleh berjalan selagi dia tidak hadir kerana ia memerlukan kehadiran kedua-dua pihak,” kata peguam itu kepada UtusanTV.
Dalam pada itu, Fakhrul Azman menegaskan bahawa mana-mana pihak yang tidak hadir ke proses sulh sepertimana yang diperuntukkan, mahkamah boleh mengambil tindakan menghina mahkamah ke atasnya.
Justeru, mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan baharu bagi proses sulh pasangan berkenaan.
Sulh adalah majlis perbincangan bersama antara pihak yang terbabit dalam suatu pertikaian, membabitkan satu atau lebih tuntutan dengan dipengerusikan pegawai sulh.
Seandainya suatu persetujuan secara damai dapat dicapai secara sukarela antara kedua belah pihak, butiran itu direkodkan oleh hakim sebagai satu perintah mahkamah tanpa melalui proses perbicaraan.
Diana Danielle atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, sebelum ini memfailkan permohonan cerai ke atas Farid pada awal Februari lalu.
Permohonan cerai itu dibuat dengan alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

