Pelakon dan pengarah Farid Kamil menitipkan pesanan buat isterinya, Diana Danielle agar bertaubat sebelum terlambat.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Azahari, 42, menggesa Diana berbuat demikian kerana perbuatan isterinya itu boleh mendatangkan laknat.
Bagaimanapun, Farid tidak mengulas lanjut mengenai perbuatan Diana sehingga dia berkata demikian.
“Apa yang saya boleh kata, bertaubatlah sebelum terlambat.. bila saya tahu akibat di sebalik apa yang dia telah lakukan, mungkin akan ditimpa laknat yang saya sendiri tidak boleh ampunkan,” katanya.
Farid berkata demikian kepada pemberita di Mahkamah Syariah Shah Alam selepas proses Sulh, tengah hari tadi.
Namun, demi perasaan cinta kepada Diana dan mahu menyelamatkan rumah tangganya, Farid mengakui tetap akan memaafkan isterinya.
“Saya sebagai manusia akan tetap maafkan dia walau apa sahaja kesalahan dia buat sebab dia adalah isteri dan ibu kepada anak-anak saya. Saya mahu selamatkan rumah tangga kami.
“Saya cuma manusia biasa yang bertindak sebagai suami yang cuma menuntut hukum hakam ditetapkan,” ujarnya lagi.
Pelakon filem ‘Lagenda Budak Setan’ itu turut memesan agar Diana menjaga adab dan sentiasa ingat bahawa dia masih isterinya.
Farid turut berkongsi berita gembira apabila memaklumkan akan bertemu kedua-dua cahaya matanya, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8 pada 15 April ini.
Diana Danielle atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, sebelum ini memfailkan permohonan cerai ke atas Farid pada awal Februari lalu.
Permohonan cerai itu dibuat dengan alasan tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq atau perbalahan berpanjangan.
Farid dan Diana berkahwin pada 3 November 2012

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

