SIKAP anak-anak yang gemar menunjukkan pelbagai aksi atau kerenah mereka di hadapan tetamu yang datang ke rumah bukanlah situasi luar biasa yang sering kita lihat.
Bagaimanapun, keadaan ini jika dibiarkan boleh menyebabkan sikap anak semakin menjadi-jadi dan jika ditegur bimbang suara amarah pula yang kedengaran.
Menghadapi situasi sebegini ada kalanya mengundang dilema pada diri ibu bapa. Cukup menghairankan kerana jika tiada tetamu yang datang, sikap anak-anak tidaklah sedemikian rupa. Entah mengapa tingkah laku mereka berubah secara drastik jika menerima kunjungan tetamu.
Merungkai dilema ibu bapa yang berhadapan dengan kerenah anak yang cukup memeningkan ini, Perunding Motivasi Bertauliah yang juga merupakan penulis buku Ibu Bapa Bijak Anak Hebat, Zaid Mohamad menyatakan sikap anak-anak yang gemar ‘membuat hal’ di hadapan tetamu adalah perkara biasa.
Bagi menangani keadaan seperti ini beliau mengesyorkan dua langkah yang boleh cuba dipraktikkan oleh ibu bapa.
Tindakan pertama yang boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan mengambil langkah memberitahu dan memberi amaran kepada anak-anak. Bukan bertujuan untuk mengugut, Tindakan ini sebenarnya lebih kepada cara bagaimana untuk memberitahu mereka bahawa ada tetamu yang akan dating berkunjung ke rumah anda.
Dengan menyatakan senario yang bakal berlaku, secara tidak langsung anda sebenarnya membantu memberi gambaran serba sedikit kepada mereka.
Sebagai contoh, beritahu anak bahawa rumah anda akan dikunjungi tetamu. Waktu itu nanti, pasti ada kanak-kanak yang akan bermain. Sewaktu kanak-kanak tersebut bergurau, berlari atau melakukan apa sahaja, pesan pada anak supaya jangan turut serta. Apa yang perlu dilakukannya, hanyalah duduk dan bermain permainannya sahaja.
Dalam pada itu, jangan lupa membuat perjanjian dengan anak-anak seawal mungkin sebelum kedatangan tetamu. Perjanjian ini penting dalam usaha mengawal dan membentuk tingkah laku anak agar tidak keterlaluan di hadapan tetamu kelak. Malah, ia juga perlu sebagai langkah ‘mengikat’ anak daripada tersasar dari perjanjian yang dibuat.
Langkah kedua yang perlu dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan mengamalkan sistem ‘reward’ dan hukuman. Bagaimanapun, ia tidak boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya tanpa perbincangan dan persetujuan daripada anak-anak. Sebaiknya, sebelum melaksanakannya, adalah lebih baik perbincangan dan persetujuan daripada anak-anak diperoleh terlebih dahulu.
“Sewaktu mengadakan perjanjian dengan anak-anak, ‘ikat’ mereka dengan sistem reward dan hukuman. Melalui kaedah ini, tunaikan janji anda yang akan memberi anugerah berupa barang-barang atau apa sahaja perkara yang telah anda janjikan jika mereka menurut arahan.
“Begitu juga sekiranya mereka ingkar dalam melaksanakan janji yang telah dilafazkan, laksanakan juga hukuman yang perlu mereka patuhi seperti mana yang dipersetujui sebelum ini. Sebaiknya, elakkan daripada cakap tak serupa bikin.
“Tindakan sebegini perlu kerana prinsip melaksanakan hukuman sama seperti yang dijanjikan bukan hanya dapat membentuk disiplin diri dalam diri anak tetapi berupaya menjadi pengajaran kepada mereka agar tidak mengulangi kesilapan tersebut lagi,” katanya lagi.

