BIARPUN mengakui harga bahan mentah agak mahal dan dikala ramai pengusaha makanan terpaksa menaikan harga jualan, sebaliknya pengusaha restoran Allid’s Cafe iaitu Mohd Khalid Abdul Rahman masih mengekalkan harga pada kadar mampu milik.
Niatnya hanya mahu semua golongan dapat merasai hidangan menu yang dijual di restorannya yang terletak di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, Melaka.
Kata Mohd Khalid, Allid’s Cafe berkonsepkan Santai Rahmah menawarkan pelbagai menu pada harga bermula RM2.50 hingga RM8.50 bagi hidangan utama.
“Kita juga ada sediakan Menu Rahmah yang terdiri daripada set asam pedas ikan pari atau ikan kembung dengan minuman pada harga RM5.00.
“Menu tersebut hanya terjual pada setiap hari Jumaat dengan 60 pinggan. Kami faham keadaan ekonomi semasa kadangkala amat membebankan golongan yang kurang berkampuan.
“Saya harap dengan harga mesra pelanggan ini kami dapat lari daripada stigma orang yang menganggap makanan di kafe dijual pada harga yang mahal,” katanya.
Berpengalaman selama lebih 12 tahun dalam bidang kulineri dan pengurusan makanan, Mohd Khalid sanggup membelanjakan RM70,000 bersama rakan kongsi yang juga adiknya, Ahmad Nasaruddin bagi membuka restoran.

Mohd Khalid yang bertindak sebagai tukang masak utama dengan dibantu dua orang pekerja, pelbagai hidangan termasuklah pastri turut tersedia untuk pelanggan.
“Kami ada enam pekerja yang masing-masing ada tugas sendiri di restoran. Selain asam pedas, menu lain yang ada ialah laksa nyonya, lontong, nasi ayam penyet preto, nasi lemak ayam berempah, spageti cabonara, pastri dan kek.
“Buat masa ini, Allid’s Cafe dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 8 malam. Kami harap selepas setahun di buka di lokasi ini, kami dapat membuka sebuah lagi cawangan di Sendayan, Negeri Sembilan,” ujarnya penuh berharap.


