BADAN Peguam Malaysia meluluskan suatu “usul tidak percaya” terhadap Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada mesyuarat agung tergempar petang tadi.
Usul dibentangkan itu menyatakan Badan Peguam hilang kepercayaan terhadap Peguam Negara “atas kegagalan mempertahankan badan kehakiman daripada serangan dan mendukung kedaulatan undang-undang”.
Usul itu memberikan contoh serangan yang didakwa dibuat terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali, hakim yang menghakimi kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden Badan Peguam, Karen Cheah.
FMT melaporkan, dalam pada itu, Badan Peguam menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, atas kelakuan yang didakwa menjejaskan kebebasan badan kehakiman.
Azalina bulan lalu berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Nazlan menyimpulkan beliau melanggar Kod Etika Hakim dan mempunyai konflik kepentingan semasa mengetuai kes SRC International.
Dalam surat bertarikh 20 Mac kepada peguambela Najib Razak, Shafee & Co, Azalina mengesahkan Nazlan, yang menghakimi kes SRC Najib, melanggar kod dan mempunyai konflik kepentingan.
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi itu berkata, ini berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.
BERITA BERKAITAN Jabatan Peguam belum buat keputusan rayu kes Zahid dibebaskan
Sementara itu, Badan Peguam kesal dengan tindakan SPRM mengeluarkan laporan itu serta masa dan cara ia dikeluarkan, dan kesimpulan yang didakwa terkandung di dalamnya, kerana ia “bukan dalam bidang kuasa SPRM”.
Mesyuarat itu juga memberi mandat kepada Majlis Peguam memberikan notis kepada Peguam Negara, untuk melakukan prosiding hina mahkamah terhadap pihak yang didakwa bertanggungjawab atas “serangan terhadap badan kehakiman”.
Sekiranya peguam negara gagal berbuat demikian, Badan Peguam akan mempertimbangkan dan, jika perlu, memulakan prosiding hina mahkamah atau sebarang prosiding atau tindakan yang seia dengan resolusi yang diluluskan mesyuarat.
FMT minggu lalu melaporkan 175 peguam membuat petisyen untuk mengadakan EGM Badan Peguam bagi membahaskan usul mengecam “serangan” terhadap kebebasan badan kehakiman dan “mendukung kedaulatan undang-undang”.
Khidmat Peguam Negara Idrus Harun dilanjutkan selama enam bulan pada Mac.
Ketika ditanya apakah langkah yang akan diambil Majlis Peguam sekiranya khidmat Idrus dilanjutkan lagi, Cheah berkata pihaknya mempunyai “beberapa pilihan”.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

