SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti kesesuaian had perbelanjaan calon yang baharu dan kesesuaian untuk mengambil kira perbelanjaan parti semasa pilihan raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu adalah satu daripada usaha untuk menambah baik Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).
Katanya, berdasarkan input yang diterima daripada SPR, perbelanjaan
yang dinyatakan mengikut AKPR merupakan perbelanjaan yang dibuat oleh calon yang bertanding dan bukannya perbelanjaan yang dibuat oleh parti.
“Perbelanjaan maksimum yang dibenarkan untuk setiap calon Dewan
Rakyat adalah RM200,000 dan RM100,000 untuk setiap calon
Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Azalina menjawab soalan Datuk Seri Rafizi Ramli (PH-Pandan) mengenai perancangan kerajaan bagi meminda AKPR terutamanya berhubung had perbelanjaan calon ADUN dan Ahli Parlimen yang dilihat sudah tidak praktikal dan lapuk.
Dalam pada itu, menjawab persoalan berkaitan dengan amalan baharu dalam kempen pilihan raya, Azalina berkata, SPR juga meneliti amalan kempen digital yang dilaksanakan oleh calon-calon semasa pilihan raya termasuklah mengambil kira kos pengiklanan di media sosial semasa berkempen.
Katanya, proses libat urus bagi dengan semua pihak yang berkaitan akan
dilaksanakan bagi memastikan pindaan AKPR dibuat dengan teratur dan mengambil kira pandangan mereka yang terlibat.
Menurut Azalina, SPR masih belum memuktamadkan pindaan yang akan dibuat sehingga sesi libat urus selesai dilaksanakan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

