PELAKON dan model, Alicia Amin menafikan khabar angin yang mengatakan dia kini menjalinkan hubungan rapat dengan aktor Amir Ahnaf.
Menurut Alicia atau Raja Alicia Raja Amin, dia tidak pernah berjumpa dan berbual dengan pelakon drama siri Projek: High Council itu.
Bagaimanapun, kata Alicia, dia hanya pernah bertemu dengan beberapa pelakon dalam siri popular tersebut di sebuah majlis rumah terbuka.
“Saya tak pernah bercakap dengan Amir dan saya pun tak pernah keluarkan sebarang kenyataan sebegitu.
“Saya pernah jumpa dengan pelakon Projek: High Council iaitu Mierul Aiman, Nadhir Nasar dan Yusof Hashim. Itu pun hanya di majlis rumah terbuka Astro,” katanya kepada URTV.
Tidak bermusuh dengan bekas suami
Mengulas lanjut mengenai hubugannya dengan bekas suami, Dr Farzan Iqbal, Alicia memaklumkan mereka masih lagi berkawan baik meskipun sudah bercerai.
“Selepas kami bercerai, saya dan bekas suami masih lagi dalam hubungan yang baik. Kami pun bercerai dengan cara elok dan atas persetujuan masing-masing.
“Kami masih lagi menjadi kawan. Kadang kala, dia hubungi saya sebab nak tahu tempat yang biasa kami pernah pergi, saya okay sahaja untuk terus berkawan dengannya,” kongsinya.
Dalam pada itu, bekas peserta Asia’s Next Top Model musim kelima itu mendedahkan punca mereka bercerai disebabkan dia ingin fokus terhadap dirinya sendiri.
Menurutnya, dia tidak sanggup untuk meneruskan perkahwinan itu kerana tidak mahu lagi ada rasa serba salah terhadap bekas suaminya yang sepatutnya diberi perhatian selain enggan mementingkan diri.
“Sebenarnya, salah satu sebab kami bercerai adalah kerana saya nak fokus pada diri sendiri dahulu.
“Saya rasa serba salah nak fokus untuk suami pada masa itu dan saya tak boleh untuk terus jadi isteri juga.
“Saya tak nak jadi manusia yang pentingkan diri sendiri untuk kepentingan diri,” jelasnya.
Justeru, pelakon berusia 28 tahun itu tidak meletakkan sebarang sasaran umur untuk berkahwin lagi kerana matlamatnya kini untuk fokus kepada perkara yang membahagiakannya.
“Saya belum ada rasa nak kahwin lagi dan tak ada sasaran umur untuk itu. Saya akan pastikan kerjaya, kewangan dan diri sendiri saya okay, baru saya kahwin. Saya nak teruskan untuk buat perkara yang saya suka.
“Silap saya sebab saya dah sasarkan umur itu saya akan kahwin tapi sebenarnya lepas kahwin, semuanya berubah,” luahnya ketika ditemui di majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) di Stesen Kereta Api Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Alicia dan Farzan mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2021 dalam satu majlis ringkas. Bagaimanapun, pasangan berkenaan tidak dikurniakan cahaya mata.

