Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said

UMNO akan membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), isu penggunaan kalimah Allah itu hendaklah dikendalikan dengan penuh cermat.

Jelas beliau, ini kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Dalam hal ini, Azalina menegaskan, penelian yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani isu tersebut secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.

“Penyelesaian yang menyeluruh perlu dibincang dan dicapai termasuk pendekatan perundangan yang kukuh merangkumi rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan selain pendekatan bukan perundangan.

“Menteri-menteri UMNO akan membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah ini untuk dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Guna kalimah Allah oleh penganut Kristian terhad untuk Sarawak – PM

Mengulas lanjut, Azalina menegaskan UMNO kekal terus berjuang menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Selain Azalina, UMNO mempunyai lima lagi wakil dalam barisan Kabinet.

Mereka adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Semalam, pelbagai pihak menuntut penjelasan kerajaan selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang penganut agama Kristian menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi tersebut dibuat pada 10 Mac 2021 yang membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.

Notis tersebut menyatakan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan tidak berniat meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram