Nyamuk, haiwan kecil ini sering memancing kemarahan manusia. Nyawanya juga banyak berakhir di tangan manusia. Pun begitu, ia tidak pernah jemu untuk terus mendekati manusia demi mendapatkan setitis darah.
Tamat riwayat nyamuk, maka terputuslah generasinya kerana telur-telurnya tidak sempat diberi makan dan ditetaskan. Secara purata nyamuk betina akan bertelur sehingga mencecah 300 biji. Selepas tujuh hari jadilah nyamuk dewasa yang boleh menghisap darah dan membiak. Begitulah seterusnya haiwan kecil ini meneruskan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Namun sebenarnya nyamuk bukanlah serangga penghisap darah untuk mengisi perut yang lapar. Baik nyamuk betina mahupun jantan, kedua-duanya menghisap manisan bunga, buah-buahan dan mineral sebagai makanan utamanya.
Tapi kenapa kita lebih kerap nampak nyamuk menghisap darah hingga kenyang. Satu-satunya alasan mengapa nyamuk betina dan bukan jantan menghisap darah adalah kerana telur-telurnya.
Tahukah anda, hanya nyamuk betina saja yang menghisap darah kerana darah mengandungi protein yang diperlukan untuk perkembangan dan pertumbuhan telurnya. Manakala nyamuk jantan tidak menghisap darah dan hayatnya tidak panjang iaitu selama 10 hingga 20 hari sahaja. Maknanya selepas mengawan, nyamuk jantan akan mati. Maka tugas untuk mempertahankan kelangsungan hidup spesiesnya terletak pada nyamuk betina.

Nyamuk betinalah yang memberi makan darah dan mencari tempat yang terbaik supaya telur-telur itu selamat dan menetas di dalam takungan air. Telur itu ditinggalkan dalam keadaan selamat di situ kerana sudah dibekalkan dengan sistem pertahanan diri semula jadi yang dimiliki generasi nyamuk.
Ketika berada di dalam air, telur yang putih itu akan bertukar menjadi gelap untuk melindunginya dari pemangsa. Begitu juga apabila bertukar menjadi larva jentik-jentik warna berubah untuk menyesuaikan diri dengan tempat takungan air. Tinggal jentik-jentik di dalam takungan dan sumber makanannya adalah bakteria dan mikroorganisma yang terdapat di dalam air.
Caranya, jentik-jentik akan membuat pusaran air yang kecil menggunakan ekornya yang berbulu. Pusaran air itulah yang menyebabkan mikroorganisma disedut masuk ke dalam mulutnya.
Dari jentik-jentik ia bertukar menjadi kepompong dan akhirnya nyamuk dewasa. Namun sepanjang proses itu, tidak ada setitis darah pun yang menjadi makanannya.

Apabila sudah cukup dewasa, nyamuk betina mengulangi perbuatan yang sama seperti ibu mereka lakukan. Menghisap darah untuk membekalkan protein kepada telur supaya generasinya sentiasa ada di dunia ini.
Si ibu menghisap darah bukan untuk keperluan makanannya tetapi untuk anak-anak yang akan ditetaskan. Biar nyawa melayang namun demi anak sanggup dilakukan. Inilah namanya menyabung nyawa demi anak walaupun akhirnya si nyamuk tewas kerana tamparan manusia.
Rupanya di dalam kehidupan ini semua ibu telah dijadikan oleh Allah S.W.T mempunyai perasaan yang sama iaitu kaya dengan kasih sayang. Baik haiwan mahupun serangga kecil juga dibekalkan dengan naluri keibuan untuk mempertahankan kelangsungan hidup generasi akan datang.
Nyamuk yang sebegitu kecil malah kita menganggapnya mencekik darah pun penuh dengan naluri keibuannya. Sanggup mempertaruhkan nyawa untuk setitis darah yang bukan untuk mengisi perutnya tetapi untuk anak-anak yang bakal ditetaskan. Itulah nilainya sebuah kasih sayang yang mungkin nampak remeh tapi cukup mahal harganya.
Kasih sayang seorang ibu itu naluri semula jadi yang Allah berikan di dalam hati setiap makhluk yang bernama ibu. Jadi, jangan buang anak kerana nyamuk pun sayangkan anaknya dan sanggup mengorbankan nyawanya sendiri.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

