Semangat 10 guru dalam memperjuangkan pemerkasaan wanita melalui Projek Kotex She Can membuahkan hasil baru-baru ini apabila mereka menerima geran sebanyak RM10,000 setiap sekolah dari dana terkumpul RM100,000 Kotex She Can.

Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyaksikan majlis penyerahan cek daripada Kotex kepada 10 sekolah berkenaan.

Menurut Nancy, isu kemiskinan haid amat membimbangkan dan ia masih dianggap sebagai tabu untuk dibincangkan secara terbuka.

“Seumpama burung yang memerlukan kekuatan dari kedua-dua sayapnya untuk terbang tinggi, kemajuan masyarakat tidak mungkin berlaku sekiranya wanita dibelakangi akibat pantang-larang masyarakat mengenai haid.

“Memandangkan wanita dan lelaki muda yang bersekolah hari ini akan menyumbang kepada tenaga kerja sektor awam dan swasta dalam masa beberapa tahun sahaja lagi, individu, komuniti dan institusi harus berganding-bahu dan menyumbang ke arah kemajuan holistik untuk belia.

“Melalui pendidikan dan pengukuhan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, empati, baik hati dan persefahaman, tabu haid yang kini membelenggu wanita boleh dihapuskan dan membawa kepada kemajuan sosio-ekonomi.

“Usaha ini mungkin akan mengambil masa, namun ia merupakan sesuatu yang perlu diselesaikan demi masa depan Malaysia. Perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata dan oleh itu, kerjasama pihak awam dan swasta seperti ini akan memainkan peranan penting dalam mempercepatkan perubahan dalam kalangan masyarakat,” kata Nancy.

Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sejak tahun 2018 lagi, Kotex She Can Fund telah memberi ganjaran kepada program dan idea yang memperkasakan wanita serta merealisasikan impian wanita demi memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk mencapai matlamat mereka tanpa terhalang oleh haid mereka.

Sebanyak 129 sekolah di seluruh negara telah menyertai pertandingan Kotex She Can Fund edisi 2021/2022. Kali ini, geran yang dianugerahkan akan digunakan untuk menjadikan sekolah lebih kondusif untuk pelajar perempuan.

Menurut Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvind Iyer, geran yang diberikan akan digunakan untuk pelbagai inisiatif meningkatkan daya tahan akademik dan emosi dalam kalangan pelajar perempuan.

Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark Malaysia, Arvind Iyer.

“Inisiatif-inisiatif ini termasuklah program-program bengkel dan ceramah bertujuan untuk membina disiplin diri dan keyakinan fizikal, emosi dan intelek serta menaik taraf kemudahan sekolah seperti bilik kaunseling, portal ilmu dan tandas.

“Program pendidikan kebersihan haid ini sangat kritikal dalam membantu wanita muda memahami  bagaimana haid dikaitkan dengan kesihatan reproduktif mereka secara saintifik dan perubahan fizikal yang mereka lalui. Selain itu, kami juga mahu mereka sedar akan implikasi kesihatan dan alam sekitar sekiranya kebersihan haid tidak dijaga,” kata Arvind.

Arvind menambah bahawa program ini adalah sebahagian daripada usaha Kotex dalam menamatkan fenomena kemiskinan haid di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa isu kemiskinan haid ini sebenarnya lebih besar daripada masalah akses kepada tuala wanita. Ia juga merangkumi masalah kekurangan pendidikan pengurusan haid dan pengetahuan pengurusan sisa haid.