Imam Ahmad meriwayatkan daripada an-Numan bin Basyir, Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesungguhnya doa itu adalah ibadat. Lalu Rasulullah s.a.w. membacakan , “Dan Tuhan kamu berfirman, “Berdoalah kamu kepada Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina.” (al-Mu’min 60).
Sesungguhnya orang yang tidak mahu meminta kepada Allah itu adalah orang yang sombong kerana merasakan diri tidak perlu kepada Allah. Rasulullah bersabda,
“Orang-orang yang menyombongkan diri akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut kecil dalam wujud manusia, yang mana mereka ditimpa kehinaan (di setiap keadaan). Hingga mereka masuk ke penjara neraka jahanam yang bernama Bulas dan mereka diliputi oleh segala jenis api. Mereka diberi minum dengan thiinatul khabaal iaitu cairan nanah penghuni neraka.” (HR Imam Ahmad).
Firman Allah, “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka) sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka) Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan Ku (dengan mematuhi perintah Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada Ku supaya mereka menjadi baik serta betul.” (al-Baqarah 186).
Allah sentiasa mendengar setiap doa hamba-hamba-Nya dan pasti akan diterima selagi mana dia tidak berdoa untuk berbuat maksiat, memutuskan silaturahim dan tergesa-gesa. Hal itu disebut dalam hadis riwayat Imam Muslim, daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Doa seorang hamba akan sentiasa dikabulkan selama ia tidak berdoa untuk perbuatan maksiat atau memutuskan tali silaturahim dan selama ia tidak tergesa-gesa.” Seseorang bertanya, “Ya Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan tergesa-gesa?” Rasulullah s.a.w. menjawab,
“Iaitu ia berkata, sungguh aku telah berdoa tetapi belum pernah aku melihat doa aku dimakbulkan. Maka ketika itu dia merasa letih dan akhirnya meninggalkan doa.”
Cara berdoa
Bagaimana untuk berdoa, adakah perlu suara yang kuat dan lantang agar semua orang dengar?
Tidak perlu semua itu. Disebutkan juga doa yang paling afdal adalah ketika bersendirian dan dengan suara yang lembut, merayu-rayu serta perlahan. Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Berdoalah dengan suara yang perlahan dan berdoalah sendiri-sendiri. Sesungguhnya kalian tidak berdoa kepada Tuhan yang tuli dan jauh akan tetapi kalian berdoa kepada Tuhan Yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kalian seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kalian daripada leher binatang tunggangannya.”
Andai doa itu masih belum dimakbulkan atau lambat jangan pernah bersangka buruk dengan Allah. Kerana, Rasulullah bersabda,
“Allah berfirman, Aku menurut prasangka hamba Ku terhadap Ku dan Aku akan sentiasa bersamanya jika ia berdoa kepada Ku.” (HR Muslim).
Jika sekali pun masih belum tertunai doa itu sekarang, Allah menyimpannya hingga akhirat dan mungkin juga menahan keburukan menimpa kita kerana doa itu. Ia jelas disebut dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan doa yang tidak mengandung dosa atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya satu daripada tiga perkara:
Pertama, Allah menyegerakan termakbul doanya ketika di dunia. Kedua, Allah menyimpan baginya sebagai pahala di akhirat. Ketiga, Allah menahan keburukan daripada dirinya semisal dengan apa yang diminta.
Mereka mengatakan, “Kalau begitu kami akan memperbanyakkan doa.” Rasulullah berkata, “Allah lebih banyak lagi (pemberian-Nya).” Wallahu a’lam
__________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

