Dalam hadis yang disebutkan dalam artikel sebelum ini, Ibnu Abbas telah mengungkapkan bahawa ritual Sa’i diambil daripada peristiwa Hajar mencari air. Ketika Hajar berlari-lari anak berulang alik antara Safa dan Marwa hatinya tidak pernah berhenti memohon pertolongan Allah.
Hajar berlari dengan perasan rendah diri, khuatir terus-terusan dan meletakan kebergantungannya hanya kepada Allah semata-mata.
Akhirnya, Allah mengangkat segala kesulitannya, menghapuskan kesepiannya dan memudahkan kesusahannya. Allah kirimkan air daripada sumber telaga zamzam. Dan air itulah juga yang menjadi makanan yang mengenyangkan dan penawar segala penyakit.
Daripada peristiwa itu Ibnu Katsir menyimpulkan, orang yang mengerjakan Sa’i hendaklah menghadirkan rasa rendah diri, hina dan sangat memerlukan kepada Allah. Semua sifat-sifat itu amat penting untuk meraih petunjuk bagi hati, kebaikan dan pengampunan dosa-dosa lalu.
Juga, sentiasa memohon perlindungan kepada Allah untuk membersihkan diri daripada segala kekurangan dan aib.
Dan, paling penting hendaklah memohon agar diberi petunjuk ke jalan yang lurus dan ditetapkan di atasnya sehingga ajal datang menjemput. Sentiasa diberi hidayah untuk menjauhkan daripada keadaan yang penuh dosa dan maksiat kepada keadaan yang penuh kesempurnaan, ampunan, kelurusan dan istiqamah sebagaimana yang dilakukan Hajar.
Bagaimana dapat dikerjakan Sa’i agar dapat mencapai tahap seperti yang digariskan oleh Ibnu Katsir? Sudah tentulah cara yang paling baik dicontohi adalah daripada amalan Rasulullah s.a.w.
Hadis diriwayatkan Abu Daud dan An-Nasai, Jabir berkata,
“Aku melihat Rasulullah s.a.w. melontar di atas tunggangannya pada hari penyembelihan dan Baginda bersabda,
“Hendaklah kalian mengambil tatacara pelaksanaan ibadah haji kalian. Kerana sesungguhnya aku tidak tahu bahawa mungkin aku tidak akan melaksanakan ibadah haji lagi setelah ibadah hajiku ini.”
Imam Nawawi membicarakan makna sabda Rasulullah s.a.w ,
“Ambillah tatacara pelaksanaan ibadah haji kalian.” Katanya susunan kalimat untuk sabda Rasulullah s.a.w tersebut adalah,
“Perkara yang aku lakukan dalam ibadah hajiku, baik berupa ucapan, perbuatan mahupun keadaan adalah perkara haji dan sifatnya. Ini merupakan tatacara pelaksanaan ibadah haji kalian. Maka, ambil, terima dan peliharalah tatacara ini juga amalkan dan ajarkanlah ia kepada manusia.”
Hadis itu merupakan prinsip dasar mengenai tatacara perlaksanaan ibadah haji. Sabda Rasulullah s.a.w. itu sama kedudukannya dengan sabda Baginda,
“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
____________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

