Mahu uji kehebatan ilmu, satu kuaters ketakutan angkara orang minyak

Dari Penulis

Kejadian ini sudah lama berlaku, semasa saya masih kanak-kanak iaitu sekitar tahun 1992. Ketika itu, saya sekeluarga menetap di sebuah kem tentera di Sarawak kerana ayah bertugas di situ. Waktu itu, usia saya dalam lapan tahun.

Suatu ketika, kuaters kami jadi kecoh dengan kes orang minyak. Hampir setiap hari, ada saja kes berkaitan orang minyak yang dilaporkan penghuni kem. Boleh dikatakan setiap malam orang minyak mengganggu penduduk kuarters.

Saya sendiri pernah mengikut ibu melihat salah seorang wanita yang diganggu. Ketika itu lebih kurang pukul 2.00 pagi.  Sedang semua lena diulit mimpi, penduduk kuaters dikejutkan dengan jeritan kuat seorang wanita.

Mak dan ayah ayah terbangun dan keluar untuk melihat siapakah gerangan wanita yang sedang menjerit itu. Walaupun ditegah, saya tetap mengikut di belakang mak.

Di luar rumah, kami lihat sudah ramai orang berkumpul di depan rumah jiran yang menjerit tadi. Rumah itu diduduki oleh pasangan yang baru berkahwin bernama Syikin. Ketika itu, suaminya, Fauzi, tiada di rumah kerana bertugas.

Orang ramai mengetuk pintu rumahnya dengan kuat. Ada yang mengintai di tingkap bilik untuk melihat jika ternampak apa-apa yang mencurigakan. Tapi tiada. Wanita itu tidur di bilik belakang.

Akhirnya, beberapa orang jiran mengambil tukul dan memecahkan pintu rumah tersebut dan masuk ke dalam. Tidak lama kemudian, jiran-jiran membawa wanita itu keluar yang menggigil ketakutan.

Bila ditanya kenapa, wanita itu tidak mampu bersuara. Jiran-jiran memujuk dan menenangkannya.

“Tadi saya nampak orang minyak!” beritahu wanita itu.

Dia menceritakan, rupa orang minyak itu berkilat seperti dilumur minyak hitam. Matanya merah. Mukanya garang dan giginya nampak berkarat. Sebaik melihat orang minyak itu, wanita itu terus menjerit-jerit sambil memejamkan matanya. Sebaik wanita itu menjerit, orang minyak yang berdiri di depan pintu biliknya terus meloloskan diri melalui lubang kecil yang terdapat di atas tingkap.

Ketika kejadian, wanita itu baru saja hendak melelapkan mata. Tiba-tiba dia terlihat kepulan asap hitam yang menerobos melalui lubang kecil yang ada di atas tingkap biliknya. Asap hitam itu kemudiannya secara tiba-tiba menjelma sebagai orang minyak. Sebab itulah dia menjerit.

Bukan malam itu sahaja, malah malam-malam sebelumnya juga banyak kejadian orang minyak yang dilaporkan penghuni kem. Anehnya, kali ini orang minyak itu dikatakan lebih licik dan mempunyai ilmu ghaib. Walaupun penghuni mengunci semua pintu dan tingkap, tetapi orang minyak itu tetap boleh masuk menerusi lubang-lubang kecil udara.

Penghuni kem percaya sekurang-kurangnya terdapat tiga orang minyak yang sedang menguji ilmu hitam yang mereka pelajari.

Disebabkan kes ini juga, setiap malam ayah akan keluar berkawal bersama jiran-jiran. Lebih kurang dua bulan juga melakukan kawalan, barulah orang minyak itu berjaya ditangkap.

Cerita ayah, suatu malam ketika dia dan rakan-rakannya sedang berkawal, mereka ternampak seorang lelaki yang mencurigakan sekitar pukul 5.00 pagi. Apa yang pelik, lelaki itu berbogel dan berjalan seperti orang lain tidak mampu melihat kelibatnya. Lelaki itu pergi dari sebuah rumah ke rumah lain.

Ayah dan pasukan ronda malam terus memerhatikan tingkah laku lelaki itu dari jauh. Setelah beberapa ketika melihat kelakuan lelaki itu, ayah dan penghuni terus mengepungnya. Lelaki berbogel itu tidak dapat melarikan diri kerana di depannya beranda setinggi dua tingkat.

Lelaki itu berjaya ditangkap. Setelah disoal siasat, akhirnya mengaku yang dialah dalang kes orang minyak yang menggemparkan kuaters kami. Lelaki itu juga memberitahu dua lagi rakannya terlibat mengamalkan ilmu hitam dan mereka ingin menguji kehebatan ilmu yang dipelajari.

Setelah mendapat nama dua orang lagi rakannya itu, ayah bersama jiran-jiran pergi menangkap mereka. Awal pagi itu, semua penghuni kem keluar untuk melihat siapa gerangan lelaki yang menjadi orang minyak itu. Rupa-rupanya ketiga-tiga lelaki itu merupakan petugas di kem berkenaan.

Mereka bertiga dipaksa untuk membuang segala ilmu hitam yang mereka amalkan. Pada hari berkenaan, tiga lelaki itu membawa ayah dan rakan-rakannya ke tempat pemujaan. Di situ ditemui pelbagai peralatan seperti beras yang ditanam dalam sebungkus kain kuning. Barang itu kemudiannya dilupuskan oleh seorang ustaz.

Ketiga-tiga petugas itu akhirnya dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang dari kem tersebut. Selepas itu, barulah keadaan aman semula, tiada lagi gangguan orang minyak.

Sebelum itu, ketika kejadian orang minyak itu heboh, semua penghuni kuarters takut kononnya orang minyak perlu memperkosa 21 orang anak dara dalam masa tujuh hari. Syarat itu pun hanya saya tahu selepas menonton filem Sumpahan Orang Minyak lakonan P. Ramlee yang ditayangkan di televisyen.

**Pengalaman di atas diceritakan oleh Azizi Radzi berdasarkan kisah yang dialami keluarganya sewaktu menetap di sebuah kem tentera di Sarawak pada awal tahun 1990-an.

__________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Misteri Kuil Ular: Demi pelaris… Pelacur, isteri curang sanggup amal khurafat

“Bawa dua ekor ayam hitam yang berbulu hitam sepenuhnya.” Itulah antara dakwaan penduduk setempat yang sering dikaitkan dengan sebuah kuil...

More Articles Like This