BEKAS peserta Pencetus Ummah, Abu Sufyan mendedahkan bahawa hubungannya bersama kedua-dua isterinya, Ain Afini dan Nurhannah Azra kini telah kembali pulih seperti sedia kala malah berbahagia dengan poligami.
Ujar Abu atau Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, dia akui hubungan antara dua isterinya juga dalam keadaan baik dan sudah hampir lebih dua tahun bernikah kembali dengan Hana.
“Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya ada dua isteri. Saya dah rujuk balik dengan Hana, dah lama dah, lebih kurang hampir dua tahun. Segala perkara berkaitan cerai dan rujuk datang daripada saya sendiri sebab sayalah pelafaznya,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menafikan bahawa kenyataan dan kecaman daripada netizen memberi impak dalam kehidupan peribadinya serta mengharapkan supaya masyarakat mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan keluarganya.
“Saya nampak kadang-kala yang menjejaskan dan bagi kesan negatif berkaitan dengan kenyataan daripada netizen seperti kecaman dan sebenarnya ia memberi kesan dalam kehidupan peribadi saya.
“Saya harapkan untuk masyarakat mendoakan saya dan keluarga saya dalam baik-baik saja, saya melalui proses yang sangat panjang dan saya nak bina keluarga yang lebih baik. Saya tak nak dipandang negatif lagi,” ujarnya kepada URTV.
Lali dengan kecaman
Bercerai-berai akhirnya disatukan semula, pendakwah bebas itu berkongsi beberapa tips berpoligami untuk sentiasa bersabar dan abaikan komen-komen negatif daripada netizen.
“Saya tak ada tips sangat pun, tapi apa yang saya boleh katakan, semua perkara perlukan kesabaran yang tinggi. Semua rumah tangga kena bersabar sebab dalam Malaysia ni bukan sebab poligami saja bercerai, ada yang bercerai pun disebabkan perkara lain.
“Selain itu, jangan pernah ‘consider’ kenyataan daripada orang luar terutamanya diri saya. Saya baca juga komen-komen netizen, memang masih ada sampai sekarang orang mengecam saya tapi saya dah lali.
“Moga-moga dengan keberkatan kerja ni, Allah titipkan sifat positif kepada rakyat Malaysia untuk mendoakan yang baik-baik untuk saya,” ujarnya ketika ditemui di pelancaran pakej umrah mukim 80 hari dan majlis menandatangani memorandum kerjasama di sebuah hotel yang terletak di Kelana Jaya.
Tidak layak digelar ustaz
Sementara itu, Abu,29, merasakan tidak layak digelar ustaz kerana ia merupakan gelaran yang besar dan berat untuk diberikan kepadanya.
Dalam pada itu, Abu berpendapat tentang ustaz jadian sememangnya ramai di seluruh media sosial tetapi mereka juga adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan.
“Saya rasa saya tak layak digelar ustaz sebab ianya sebuah gelaran yang besar dan saya lebih selesa kalau orang panggil Abu atau Abu Sufyan.
“Bila ada gelaran tu, ibarat tak boleh buat dosa dan kena maksum. Saya akui memang berat dan ini adalah saya, bukan ustaz atau Pencetus Ummah.
“Kalau tengok dekat media sosial, ustaz jadian memang banyak negatif. Ustaz ni dikaitkan dengan kontroversi pun sebab dia hanyalah manusia biasa. Sama saja semua. Semua tak maksum dan tak terlepas dari dosa.
“Semasa saya dapat satu gelaran dari rancangan televisyen, saya ambil tanggungjawab untuk sedaya upaya menjaga itu dan ini. Perkara ni bukan anugerah, tapi ujian. Kalau saya tukar ‘username’ Instagram pun, orang tetap kenal saya sebagai PU Abu,” jelasnya.
Ditawarkan menjadi pengurus operasi syarikat pelancongan
Dalam perkembangan lain, Abu tidak lokek berkongsi mengenai karier terbaharunya yang kini menjadi pengurus operasi bagi syarikat Persada Global Holidays Sdn Bhd dan akan bertugas selama beratus hari di Tanah Arab.
Tambahnya, dia kagum dengan syarikat ini kerana mengeluarkan kos yang banyak untuk para jemaah meluangkan masa belajar ilmu agama di Saudi melalui pakej baru yang dilancarkan iaitu Pakej Umrah Mukim 80 Hari (UM80).
“Alhamdulillah pada bulan Ogos tahun lalu, saya ditawarkan untuk menjadi pengurus operasi untuk syarikat ini dan saya akan duduk di sana selama hampir 200 hari.
“Tugas saya adalah berkaitan dengan pengurusan jemaah di Mekah dan Madinah. Saya bukan mutawif tapi saya ditugaskan untuk menyampaikan sirah dan ceramah.
“Bagi saya, syarikat ini syarikat yang bagus dan berbeza dengan syarikat yang pernah saya jadi pembimbing sebelum ini.
“Antara sebabnya pihak syarikat keluarkan kos yang besar untuk pastikan para jemaah mendapat hotel dan tak ada isu negatif yang timbul, alhamdulillah,” ujarnya.
Abu turut mendedahkan dirinya sebelum ini pernah bekerja dengan syarikat yang sama semasa kesnya tular, tetapi dia mengambil keputusan untuk mengundurkan diri demi menjaga nama baik syarikat.
Dalam pada itu, Abu juga bercita-cita untuk meninggal dunia di tanah Arab dan tidak terlepas berdoa dalam setiap sujud untuk keinginannya itu.
Ditanya juga tentang ujian para wanita di tanah Arab bakal menggoyahkan imannya atau tidak, Abu tidak mahu melakukan kesilapan yang sama seperti sebelum ini dan berniat untuk bekerja sahaja.
“Nabi kata sebesar-besar fitnah di dunia adalah wanita, jadi kita tahu atas apa yang berlaku, saya tak nak jatuh dalam lubang yang sama, saya tak nak dipatuk oleh ular yang sama. Saya dah ambil pengajaran dan saya hanya ingin membina kerjaya di sana,” katanya.
Sementara itu, Abu juga menjadi jurulatih motivasi untuk program-program sekolah terutamanya tentang bagaimana pelajar nak berjaya dalam pelajaran dan untuk para pekerja yang ingin menjadi pekerja yang bagus.
Pada 2 Jun yang lalu, kecoh di media sosial mengenai Abu dikhabarkan telah bernikah semula dengan isteri keduanya, Hana.
Terdahulu, kemelut rumah tangga mereka pernah menjadi perhatian warganet apabila Abu sering menganggu Hana meskipun mereka sudah berpisah.
Untuk rekod, Hana dan Abu berkahwin pada Mei 2019 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Muhammad Uwais Al-Mateen yang kini berusia tiga tahun.
Abu juga mempunyai seorang lagi isteri iaitu Ain Afini yang dikahwini pada 2018 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Adam Asyar dan Muhammad Aryan ‘Afi.

