EMPAT sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lapan bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Bezza dengan treler di Jalan Kulim menuju ke Baling, Kedah, petang tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan dua kanak-kanak cedera parah.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.06 petang.
Katanya, pemeriksaan mendapati terdapat enam mangsa berada dalam kereta Perodua Bezza tersebut.
“Mangsa yang meninggal merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berumur 30 dan 59 tahun serta bayi lelaki berusia lapan bulan.
“Empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi kanak-kanak berusia dua dan enam tahun cedera parah,” katanya memetik laporan WartaRakyat.
Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, kesemua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan itu sebelum dikeluarkan dengan peralatan khas rescue tools.
Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM, manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang saksi, Mohamad Redzuan Adam, 41, yang menaiki kereta bersama keluarganya berada di belakang kenderaan mangsa terkejut melihat kejadian itu.
Tambahnya, ketika mereka berada di belakang kereta mangsa secara tiba-tiba kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Kereta itu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan, saya dalam keadaan panik terus memberhentikan kereta dan menolong mangsa.
“Kami hubungi pihak polis dan bomba bagi membantu mangsa,” katanya.

