SEORANG bapa ditahan selepas dipercayai membunuh dan menanam tujuh bayi hasil daripada hubungan sumbang mahram dengan anak kandungnya sendiri.
Memetik laporan Detik.com, kejadian yang berlaku di Banyumas, Jawa Tengah itu terbongkar selepas penemuan beberapa rangka bayi di sebuah taman kosong milik mangsa dekat Kampung Tanjung, Purwokerto.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Banyumas, Agus Supriyadi berkata, suspek yang dikenali sebagai Rudi, 57, mengaku telah merogol anak kandungnya, E, 25, sejak tahun 2013.
“Menurut pengakuan Rudi lagi, dia mempunyai tiga orang isteri, namun yang sah hanyalah isteri pertama.
“Sementara isteri kedua dan ketiga tidak didaftarkan.
“Mangsa adalah anak kandung kepada isteri ketiganya,” katanya.
Jelas Agus, hubungan terlarang dua beranak itu dipercayai dilakukan di sebuah pondok yang terletak tidak jauh dari lokasi penemuan rangka bayi itu.

Katanya, perbuatan terkutuk itu diketahui oleh ibu kandung mangsa, tetapi ibunya tidak berani mengambil tindakan kerana menerima ugutan daripada suspek.
“Ibu mangsa tahu mengenai kejadian ini tetapi hanya mengambil langkah berdiam diri kerana diancam bunuh jika membuat laporan kepada polis,” ujarnya.
Menurut Agus, suspek juga mengaku telah membunuh serta menanam tujuh bayi hasil hubungan zina itu, bagaimanapun sehingga kini hanya empat rangka bayi sahaja ditemui polis di lokasi kejadian.
Jelasnya, polis kini menjalankan pencarian tiga lagi rangka bayi dengan melibatkan anjing pengesan.
“Penggalian sedang dijalankan hari ini, mudah-mudahan kita dapat menemui rangka terakhir,” katanya.

Difahamkan, suspek dikenali penduduk sebagai dukun perubatan tradisional dan sering memancing di lokasi kejadian penemuan rangka bayi.
“Suspek juga mengaku bertindak sedemikian kerana mendapat arahan daripada guru kerohanian yang dikenali sebagai Bambang.
“Polis bagaimanapun masih menyiasat motif suspek melakukan hubungan sumbang mahram sama ada menerima arahan daripada guru kerohanian atau mahu menjadikan anaknya sebagai hamba seks,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

