SEORANG foreman tayar maut selepas dirempuh lori ketika melakukan pemeriksaan tayar sebuah treler yang berhenti di bahu jalan di Kilometer 119.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, kemalangan melibatkan sebuah treler dan sebuah lori barangan .
“Mangsa lelaki 48 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Temerloh untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Nasyim berkata, siasatan awal mendapati mangsa membuat pemeriksaan di bahagian tengah sebelah kanan treler bagi tujuan pertukaran tayar.
“Ketika itu, lori yang dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Puchong, Selangor yang bergerak lurus dipercayai bergesel dengan treler terbabit sebelum melanggar mangsa yang sedang duduk di atas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan,” katanya sambil menambah pemandu treler dan pemandu lori masing-masing tidak mengalami kecederaan.
Bagaimanapun katanya, pemandu lori terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing mendapati keputusan negatif.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua kenderaan turut ditahan bagi menjalani pemeriksaan Puspakom,” katanya.
Mohd Nasyim menambah semakan mendapati pemandu lori berkenaan mempunyai 19 saman atas pelbagai kesalahan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

