Besarkan anak secara halal dan baik, ibu bapa wajib bentuk akidah anak

Dari Penulis

Tanggungjawab seterusnya setelah anak dianugerahi Ilahi ialah memberikan nafkah secukupnya mengikut kemampuan. Hal yang ingin ditekankan dalam bab ini bukanlah semata-mata memberikan nafkah, tetapi apa di sebaliknya.

Ini kerana selagi seseorang ibu atau ayah itu mempunyai nilai kemanusiaan, nafkah adalah perkara wajib yang ada dalam pemikiran mereka. Kewajipan memberikan nafkah terkandung dalam firman Allah bermaksud:

“Dan ke atas ayah kewajipan menafkahkan dan memberi pakaian kepada kedua-duanya (ibu dan anak) dengan cara yang wajar.” (Al Baqarah: 233)

Dalam hal ini jelas bahu yang wajib memikul tanggungjawab ini ialah pihak ayah. Tidak ada kompromi. Sekiranya ibu yang turut bekerja ingin turut menyumbang, itu adalah hal yang lain,bahkan baik, tetapi itu bukan satu tanggungjawab baginya.

Keperluan asas bagi ahli keluarga ialah makanan, pakaian serta rumah. Inilah sahaja yang wajib  dinafkahi. Lain-lain perkara tidak termasuk dalam konteks nafkah yang dibincangkan ini walaupun juga barangkali termasuk kewajipan.

Dalam hal ini lain-lain perkara itulah seeloknya diambil tanggungjawab oleh isteri jika berkemampuan.

Di sebalik kewajipan memberi, seseorang ayah adalah bertanggungjawab terhadap apa yang diberinya. Adakah ianya halal? Adakah maksud halal yang difahami itu hanya pada jenis makanan itu sahaja? Inilah perkara yang menjadi persoalan besar masa kini.

Natijah dari kejahilan hukum hakam, hidup bermatlamatkan kemewahan serta tidak mahu ketinggalan melahirkan ayah yang tidak lagi memikirkan persoalan yang besar ini. Maka dengan rasa tidak bersalah akibat jahil dan membangga diri dengan kemewahan, segala makanan yang haram diberikan sebagai santapan keluarga.

Ayam, ikan, udang, ketam, susu, sayur, buah-buahan dan sebagainya adalah haram. Baju, kain, tudung, seluar, jubah dan sebagainya adalah haram. Sebab? Duit didapati secara rasuah, riba, penyelewengan, menipu dan sebagainya.

Istilah boleh direka dan diubah, tetapi hukum tidak. Berapa ramai orang Islam hari ini terlibat dengan rasuah dan penyelewengan? Ramai. Dari sekecil-kecil penjawat awam sehingga kepada sebesar-besar pemimpin.

Akibatnya, dunia kita dipenuhi anak-anak yang tak menjadi. Akhlaknya tak menjadi. Peribadinya tidak menjadi. Ketahanan dirinya tak menjadi. Harapan yang disandarkan padanya tak menjadi. Allah bayar tunai di dunia. Dan Allah akan bayar lagi di akhirat. Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Setiap daging yang tumbuh daripada minuman dan makanan yang haram, maka ia akan menjadi bahan bakar api neraka.”

Semaikan Akidah Allah yang Satu

Kewajipan menyemaikan akidah tauhid ini adalah sebesar-besar asas pendidikan dalam Islam. Akidah atau kepercayaan dengan sepenuh keyakinan bahawa Tuhan hanyalah satu dan Tuhan yang satu itulah mencipta segala isi alam maya ini, menjadi ketua kerajaan mengurus dan mentadbirnya serta berkuasa penuh ke atas segala makhluknya.

Dengan kehebatan dan kebesaran-Nya itu, maka hanya Dia yang layak disembah sebagai Tuhan seluruh manusia. Tuhan itu adalah Allah. Inilah yang wajib disemaikan kepada anak-anak.

Sudah tentu pada peringkat awal usianya dia akan beragumentasi, apa perlunya Tuhan? Di mana Tuhan? Betulkah Tuhan hanya satu? Semua ini memerlukan ilmu dan kesabaran.

Ilmu pula perlu disertai dengan intelek. Inilah ilmu mantik atau logik. Misalnya persoalan di atas boleh dijawab begini: Apa perlunya ibu dan ayah kepada anak-anak? Tentulah jawabnya untuk memberinya makan, melindunginya dan memenuhi keperluannya.

Nah, sekarang tanyakanlah siapa pula mencipta beras sebagai makanan kita? Siapa pula menciptakan air sebagai minuman kita? Ibu? Ayah? Jawablah padanya itulah ciptaan Allah.

Cabarnya supaya mencipta sebiji beras atau setitik air. Di mana Tuhan? Jawab padanya di atas Arasy, satu tempat yang tinggi. Jangan kata Allah tidak bertempat. Betulkah Tuhan itu satu?

Tanya padanya di sekolah ada berapa orang guru besar? Di kampungnya ada berapa orang ketua kampung? Di negerinya ada berapa orang menteri besar? Di negaranya ada berapa orang perdana menteri? Logikkah kalau ada lebih dari satu? Dengan sendirinya dia menjawab persoalan itu.

Sebenarnya setiap anak yang dilahirkan mempunyai fitrah akidah ini. Namun jika tidak dibimbing akan masuklah pengaruh-pengaruh luar yang membentuk akidah yang sesat yang sedang giat meracuni umat Islam Malaysia sekarang seperti Yahudi dengan fahaman Uzair anak Allah, Kristian dengan fahaman Isa anak Allah serta lain-lain dengan pelbagai objek, ukiran dan patung yang disamakan dengan Allah. Inilah syirik.

Rasulullah bersabda, maksudnya:

“Setiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (mentauhidkan Allah), kecuali ibu bapanyalah yang menyahudikanya atau mengkristiankanya atau memajusikannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Terlalu banyak usaha yang dijalankan oleh penganut agama selain Islam bagi merosakkan akidah orang Islam. Ianya bermula dari peringkat kanak-kanak dengan program hiburan yang diimport dari negara Barat atau Timur seperti Jepun.

Ibu dan ayah jangan hanya melihat perkara ini sebagai hiburan semata-mata, kerana pengaruh media ini terlalu kuat kepada anak-anak.

Tapislah dengan mengehadkan masa tertentu dan rancangan tertentu yang boleh dilihat oleh anak-anak. Tapislah sebelum ianya berkembang menjadi akidah baru anak-anak yang akhirnya menjadi bencana besar dalam kehidupannya dan kehidupan ibu dan ayah di dunia dan kehidupan akhirat.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Telefon di tangan, anak di pinggiran

Oleh : Dr Mohd Afifuddin Mohamad DI sebuah restoran, seorang ayah duduk bersama isteri dan anak-anaknya. Makanan terhidang cantik di...

More Articles Like This