White N Black Lakeside, restoran berkonsepkan makanan barat yang terletak di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya memperoleh Pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Pengiktirafan ini merupakan satu pencapaian besar buat syarikat yang bernaung di bawah MFJ Group Holding Sdn. Bhd, sekaligus mengukuhkan kepercayaan pelanggan terhadap jenama dan menu yang disajikan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFJ Group Holding Sdn. Bhd, Mohd Firdaus Jamaluddin berkata, restoran ini berpegang teguh kepada prinsip penyediaan makanan yang bersih dan mengikut hukum Islam. Para pekerja restoran juga terdiri daripada Bumiputera Muslim yang sentiasa menitikberatkan etika kebersihan, integriti penyediaan serta layanan mesra pelanggan.
“Kalau ikutkan Jakim, pemilik restoran Islam sebenarnya tak wajib pun untuk ambil sijil Halal ini. Namun, kami berbeza pendapat kerana orang di luar sana bukan kenal siapa pemilik premis. Disebabkan itu kami ambil inisiatif untuk tetap dapatkan sijil Halal supaya orang yakin dan tidak was-was.
“Pentingnya sijil Halal ini juga kerana kami dalam visi mahu menjadi bumiputera Muslim pertama yang tersenarai dalam IPO kelak,” ujar Mohd Firdaus semasa berucap dalam majlis yang diadakan di restoran tersebut, semalam.

Menurutnya lagi, proses untuk mendapatkan pensijilan ini juga bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan komitmen tinggi dari segi pematuhan syariah, penyediaan dokumentasi lengkap, pemilihan pembekal bahan mentah yang semuanya perlu memiliki pengesahan Halal, serta kesediaan untuk menghadapi audit mengejut daripada pihak JAKIM.
White N Black Lakeside yang turut memperkenalkan menu barat premium seperti Tomahawk, Sirloin Steak dan Beef Wellington, menghidangkan makanan tersebut tanpa penggunaan alkohol dan menggunakan resepi serta kaedah tersendiri yang telah mendapat pengesahan Halal.
Langkah ini menjadikan restoran ini unik dan diyakini, berbanding sesetengah restoran barat lain yang gagal memperoleh pensijilan Halal kerana penggunaan bahan atau kaedah penyediaan yang tidak memenuhi syarat.

Ia juga sebagai pembuka langkah di mana cawangan restoran lain yang berada di bawah MFJ Group juga akan mendapatkan pensijilan HALAL. MFJ Group kini menyasarkan pembukaan 20 cawangan di bawah penjenamaan White N Black Lakeside Restaurant dalam tempoh 3 tahun mendatang.
Lokasi yang disasarkan termasuk Selangor, Pulau Pinang, Johor dan pasaran antarabangsa di Indonesia. Langkah ini bakal memperluaskan jenama dan memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan Muslim untuk menikmati hidangan barat dan Melayu yang halal dan premium.
“Dengan adanya pensijilan Halal, syarikat juga bersedia untuk tawarkan peluang francais dan pelesenan kepada individu atau syarikat yang berminat untuk membuka cawangan di bawah jenama ini,” jelas Mohd Firdaus.
Dalam majlis yang sama, MFJ Group turut mengumumkan pelantikan firma guaman Tetuan Akmal Shamsul Kahar & Co sebagai penasihat guaman rasmi syarikat, dalam usaha memperkukuh struktur korporat dan melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Pelantikan ini adalah strategi penting dalam perancangan MFJ Group untuk penyenaraian awam (IPO) dan menarik minat pelabur institusi.

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

