PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempersembahkan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan kepada Majlis Raja-Raja dalam masa terdekat dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan anak bagi wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing, yang lahir di luar negara.
Beliau berkata, ia bertujuan membolehkan ibu warganegara Malaysia untuk mendapatkan hak seadilnya mengikut Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam satu dua hari ni (akan menghadap Majlis Raja-Raja).
“Undang-undang menyebut hak warganegara hanya kepada bapa, tidak termasuk ibu. Jadi kita nak masuk ibu bapa, kerana dalam Perlembagaan, tak adil hanya letak bapa dan tak masuk ibu. Itu sahaja yang nak dikemukakan,” katanya.
Anwar berkata demikian kepada media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Malaysia (IMLC) 2023, hari ini.
Baca artikel berkaitan: Keprihatinan PM di sebalik kejayaan UiTM menjuarai debat di Krabi
Menurut Perdana Menteri, cadangan pindaan itu seterusnya dijangka akan dibentangkan di Parlimen September ini.
Terdahulu dalam ucapannya, ketika merujuk kepada masalah berkaitan isu penduduk tanpa kerakyatan, Anwar berkata Kementerian Dalam Negeri telah menerima banyak permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan, yang menuntut tindakan segera dilakukan bagi menanganinya.
Beliau berkata beberapa isu kritikal menyumbang kepada cabaran yang dihadapi oleh penduduk tanpa kerakyatan di Malaysia.
“Bagi kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu yang merupakan warga Malaysia, pelbagai usaha sedang digerakkan bagi membantu menyelesaikan isu yang berkaitan dengan kewarganegaraan ini.
“Kita akan bentangkan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan perkataan ‘bapa’ (whose father) dalam Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua, dengan perkataan ‘sekurang-kurangnya salah seorang daripada ibu bapa’,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

