SERAMAI 40 pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mempersembahkan ‘flashmob’ buat julung kalinya di Myeongdong, Korea Selatan.
Ia merupakan salah satu program anjuran UiTM menerusi Youth Global Outreach 2023 yang melibatkan 10 buah lagu dan tarian tradisional.
Antara lagu yang dipertunjukkan adalah Lenggang Kangkung, Ketipang Payung, Ikan Kekek, Bujang Lapok dan banyak lagi.
Para peserta turut memperagakan pakaian tradisional dari pelbagai budaya seperti bangsa Melayu, India, Cina, dan Suku Kaum Kadazan.
Selain itu, pihak penganjur juga memberikan cenderahati berupa kain batik yang dibawa dari Malaysia kepada pengunjung yang menyaksikan ‘flashmob’ tersebut.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Hj. Sazili Shahibi berkata, pertukaran budaya berkenaan sangat penting kerana ia merupakan identiti kepada sesebuah bangsa dan negara.
“Bangsa yang berjaya adalah bangsa yang menitik beratkan pengekalan budaya yang telah diwarisi sejak turun temurun.
“Dalam pelaksanaan program seperti yang terdapat dalam program ‘outreach’ ke Korea Selatan baru-baru ini, para peserta program telah dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan mereka telah mendekati rakyat Korea untuk mempersembahkan tarian serta pakaian tradisional yang mereka gayakan di Myeongdong, Korea Selatan,” katanya.
Sementara itu, ketua ‘flashmob’ iaitu Nik Nur Khaleeda berkata, aktiviti tersebut adalah salah satu cara mudah untuk memperkenalkan budaya Malaysia kepada masyarakat Korea melalui tarian tradisional dan peragaan pakaian tradisional.
“Seperti yang kita semua maklum, Myeongdong merupakan bandar yang sibuk dengan pengunjung dari seluruh dunia. Oleh itu, pemilihan tempat untuk melaksanakan aktiviti ‘flashmob’ ini adalah tepat dan strategik,” ujarnya.
Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti budaya seperti ini turut menyumbang kepada matlamat Pelan Strategik UiTM 2025 (UiTM2025) dan memperkukuhkan pengalaman mahasiswa dalam pertukaran budaya serta kepentingan pemeliharaan warisan budaya yang telah diwarisi.
UiTM terus berusaha untuk menjadi universiti yang berwibawa secara global dan mewujudkan mahasiswa yang berwawasan serta bertanggungjawab dalam merealisasikan aspirasi untuk pembangunan lestari dan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs).
UiTM melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar sesi UiTM Shah Alam 2021/2022 telah mengadakan Program UiTM – Youth Global Outreach 2023 di Pulau Jeju dan Seoul, Korea Selatan dari 25 Jun hingga 1 Julai yang lalu.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

