PENYANYI Ziana Zain akui bukan mudah menggalas gelaran ibu tunggal susulan perceraiannya bersama bekas suami, lima tahun lalu.
Ujar Ziana atau Siti Roziana,55, pelbagai dugaan terpaksa dia depani selain perlu menelan setiap tohmahan masyarakat hingga emosinya terganggu.
“Bukan senang nak hidup besarkan empat orang anak tanpa suami. Kita kena tempuh banyak mulut orang yang ngeri kalau difikirkan semula.
“Gelaran J (janda) ini selalu jadi mangsa umpatan sehingga ke mati. Orang akan cakap fasal pemakaian kita tak sesuailah, balik malam, tak sedar diri. Tipulah kalau ibu tunggal seperti saya ini tak menangis…itu lumrah.
“Jika difikirkan sangat, boleh jadi gila dan kemurungan. Cukuplah empat tahun saya hidup macam tu (kemurungan). Dulu-dulu saya lebih suka berkurung dalam rumah tapi sekarang ini saya kena bangkit,” katanya sebak kepada URTV.
Ziana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single duet Waktu bersama Hasif Upin di sebuah hotel di ibu negara.
Tambah Ziana, dia bangkit demi anak-anak yang semakin dewasa dan meneruskan kehidupan seperti biasa sekaligus melawan perasaan.
“Saya kena bersemangat untuk bangun dan bangkit besarkan anak-anak. Saya kena kuat demi mereka.
“Anak saya iaitu Amar dan Aiman pernah ikut saya keluar bekerja. Mereka sampai cakap ‘susahnya kerja mama’. Lepas daripada itu, mereka dah tak mahu ikut saya kerja sebab tak sanggup tengok saya.
“Saya pernah tanya pada emak, apa akan terjadi pada saya dan anak-anak kalau abah dah tiada (meninggal dunia), emak kata saya kena percaya pada Allah,” luahnya.
Ziana sah bercerai dengan bekas suami, Armin Zaharin Ahmad pada Julai 2018 di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Mei 1998 dan dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 24, Muhammad Ammar, 19, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 14.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

