Empat Live In Kuala Lumpur satukan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri & Syamel -” Ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, sebuah temasya yang berjaya direalisasikan”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

SEJARAH baharu bakal terlakar apabila buat julung kalinya, konsert ‘keluarga’ yang menggabungkan dua pasangan adik-beradik popular iaitu penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain bersama anak saudara mereka, Ernie Zakri serta suami, Syamel.

Berbeza generasi, namun itu bukan penghalang buat mereka mempertaruhkan karya masing-masing di atas konsert pentas berskala mega.

Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse mempersembahkan sebuah konsert yang menjadi dambaan peminat setelah sekian lama apabila berjaya untuk menggabungkan empat ahli keluarga ini dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025.

Bakal dilaksanakan pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah konsert tetapi perlambangan cinta, kasih dan sayang serta silatulrahim dan bakat hebat Malaysia daripada generasi berbeza yang perlu diraikan.

“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada kami pernah terfikir bahawa pada akhirnya takdir membawa kami ; saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya, Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda diatas satu pentas.

“Lalu setelah memperhalusi hasrat menganjurkan Empat Live In Kuala Lumpur 2025, ia pun direalisasikan. Sebenarnya konsert ini telah lama dirancang, boleh dikatakan sejak dua tiga tahun yang lalu. Namun melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen penyanyi yang terlibat, pihak penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini. 

“Alhamdulillah tahun ini bakal menyaksikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dapat direalisasikan sesuai perancangan.

“Konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.

“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujar Anuar Zain.

Bagi pelantun Madah Berhelah, Ziana Zain, penganjuran persembahan oleh Anuar Zain Network bersama Altus Prohouse sebagai pengurusan konsert akan menjadi sebuah temasya meraikan cinta di antara beberapa generasi bersama peminat peminat yang hadir.

“Empat Live In Kuala Lumpur 2025 saya sifatkan seperti sebuah temasya yang berjaya direalisasikan selepas mendapat banyak permintaan dalam kalangan peminat. Peminat hadir ke sebuah konsert tetapi menikmati karya daripada dua generasi;  generasi saya, Anuar, Ernie serta Syamel. 

“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan menikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya. Saya mahu peminat pulang daripada konsert kami yang penuh magis dengan momen yang indah.

“Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” katanya.

Buat Ernie Zakri, dirinya berdebar kerana tidak pernah bekerja dalam skala besar bersama Ziana dan Anuar Zain.

“Sebagai penghibur legenda, Ziana dan Anuar telah membuat debaran saya berkurang kerana sangat terbuka dan profesional menerima kami (Ernie dan Syamel) bekerjasama dalam konsert berskala besar ini.

“Malah saya menangis selepas dilamar merealisasikan Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bersama ibu dan bapa saudara saya yang selama ini sangat saya kagumi dengan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.

“Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak dulu lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujarnya yang berterima kasih kepada Anuar Zain Network.

Terharu menerima lamaran Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal menjadi medan ‘Pesta Vokal’, Ernie mahu meninggalkan kenangan manis dalam konsert yang akan berlangsung pada 18 Oktober ini.

Bersetuju dengan Ernie, Syamel menyifatkan pembabitan dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 juga sebagai sebuah mimpi menjadi kenyataan. Apatah lagi sebagai ‘keluarga baharu’ pesohor legenda tanah air, dirinya berasa karier seninya telah naik ke satu tahap yang lebih baik melalui peluang keemasan ini.

“Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri ; masing-masing adalah legenda. Justeru apa yang saya lihat dengan kerjasama kami berempat dalam Empat Live In Kuala Lumpur 2025 menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” kongsinya.

Untuk kelancaran konsert ini, Jennifer Thompson telah dipertanggungjawabkan menjadi pengarah konsert manakala Sze Wan pula merupakan pengarah muzik untuk Empat Live in Kuala Lumpur  2025 bersama pemuzik-pemuzik handalan tanah air.

Menurut Jennifer, “Kami telah merancang konsert ini sejak tiga  tahun lepas dan sangat teruja apabila ia akhirnya menjadi kenyataan. Keempat-empat mereka adalah penyanyi dan penghibur yang hebat, tetapi apa yang menjadikan persembahan ini magis ialah setiap seorang daripada mereka mempunyai gaya istimewa yang tersendiri. 

“Peluang untuk bekerjasama dengan bakat dan repertoire sebesar ini ibarat seorang kanak-kanak di kedai gula-gula.

“Akan ada banyak detik istimewa untuk para peminat yang hanya boleh dialami dalam persembahan ini – kolaborasi serta peluang untuk menyanyi bersama lagu-lagu pop terbesar yang merentasi empat dekad. Istimewa? Ya. Wajib tonton? Ya… 100 peratus hiburan untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur,” jelas Jennifer menambahkan lagi keterujaaan untuk menonton konsert ini. 

Untuk menjadi salah seorang penonton yang bakal menyaksikan sejarah kolaborasi indah ini  Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur pastikan anda bersedia dengan lebih awal untuk  mendapatkan tiket dengan beberapa kategori yang telah disediakan.

Tiket-tiket berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/empatkl mulai 25hb April 2025 jam 10.00 pagi.

Istimewa buat golongan kelainan upaya (OKU), anda mempunyai ‘talian’ khas dengan menghubungi hotline +6011-1190 0518 untuk mendapatkan tiket Empat Live In Kuala Lumpur 2025 .

Informasi

Acara: Empat Live In Kuala Lumpur 2025

Artis: Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri, Syamel

Tarikh: 18 Oktober 2025

Lokasi: Mega Star Arena, Kuala Lumpur

Penganjur Konsert: Anuar Zain Network

Penganjur Bersama danPengurusan Konsert: Altus Prohouse

Link tiket: https://www.ticket2u.com.my/empatkl 

                      Tiket mula dijual pada  25hb April 2025 jam 10.00 pagi.

Harga Tiket: RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP), RM2,088 (Royal Twin Seat)

Pembelian tiket untuk golongan kelainan upaya (OKU): (+6011-1190 0518)


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This