SEJAJAR dengan kemajuan teknologi masa kini, pihak stesen televisyen berteraskan Islamik, TV Alhijrah kini mengambil initatif membangunkan kecerdasan buatan atau dikenali sebagai artificial intelligence (AI) yang semakin popular ketika ini.
Objektif TV AlHijrah mewujudkan teknologi AI adalah bertujuan untuk memudahkan masyarakat beragama Islam mendapat ilmu dan hukum agama dengan lebih tepat dan cepat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, pihaknya juga bercadang untuk menjadikan ruang chatGPT sebagai langkah segera membalas persoalan masyarakat yang ingin tahu tentang Islam.
“Aplikasi itu merangkumi segenap perkara termasuklah soal hukum hakam agama Islam, rujukan tentang menunaikan ibadah umrah dan haji, perbincangan untuk saudara baru (mualaf) serta anak-anak kecil.
“Kami sudah dalam pembinaan chatGPT. Harapnya, ia banyak memberi input dan dapat memberi jawapan serta solusi kepada masalah yang masyarakat hadapi mengenai Islam,” katanya ketika ditemui URTV.
Selain itu, TV AlHijrah turut mengambil langkah proaktif dengan menjalinkan kerjasama dengan TikTok Malaysia serta Kementerian Komunikasi dan Digital.
Ia bertujuan melicinkan perancangan pihaknya agar dapat direalisasikan secara lebih meluas.
“TV Alhijrah sudah bertapak sejak 13 tahun dalam industri penyiaran. Kami juga mahu mengikut trend semasa yang kita lihat banyak stesen televisyen sudah menggunakan platform media sosial sebagai satu medium sebaran maklumat.
“Kami juga ingin melangkah lebih luas lagi selain ingin menarik orang muda untuk menonton TV AlHijrah dengan cara meneroka media sosial sebagai contoh TikTok.
“Kami bekerjasama dengan kementerian dan TikTok Malaysia bagi memberi garis panduan terhadap kandungan yang melibatkan penipuan barangan jualan produk halal dalam aplikasi mereka,” jelasnya.
Tahun ini juga menyaksikan dua Program Modul Realiti impak tinggi akan dihidangkan buat penonton TV AlHijrah.
Seperti beberapa program realiti yang telah dirancang untuk tahun ini islah Program Akademi Daie Muda YADIM dan Program Marhaban Challenge.
Selain itu, TV AlHijrah terus mengorak langkah menjadi stesen televisyen Islam yang menggerakkan potensi dan memperkasakan ekonomi ummah.
Stesen ini berterusan mengambil bahagian dalam membantu menaik taraf masa depan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) untuk menguasai pasaran ekonomi domestik dan bersaing di peringkat antarabangsa.
Usaha ini dilaksanakan menerusi Kempen Bincang Niaga Privilege yang akan dilancarkan pada 29 Julai ini.
Terbitkan Buku Cinta Ilmu
Menjadikan program Cinta Ilmu, Indahnya Hidup Beragama Dengan Ilmu yang sudah 10 tahun ditayangkan, TV AlHijrah mendapat idea untuk menerbitkan buku berdasarkan rancangan tersebut.

Biarpun menyedari industri buku dan percetakan semakin pupus, tetapi TV AlHijrah yakin masih ada segelintir orang ramai yang gemar membaca buku secara kaedah tradisional.
“Kami terbitkan Cinta Ilmu dengan harapan untuk memudahkan orang ramai mendapatkan informasi dengan lebih tepat menerusi pembacaan.
“Kami gabungkan selama 10 tahun tayangan program Cinta Ilmu di TV AlHijrah dalam sebuah buku.
“Kami tahu dan sedia maklum bahawa ketika ini industri percetakan dikatakan sudah tidak relevan tapi sebenarnya sebagai orang media, kita perlu mencari jalan lain untuk memastikan ia tidak pupus.
“Ia pengajaran kepada industri media dan kita kena teruskan perjuangan ini sebab saya yakin teknologi akan berubah-ubah,” jelasnya.


Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

