Baginda s.a.w. menggalakkan umat Islam supaya berpuasa hari Asyura iaitu pada 10 Muharam. Sudah barang tentu, dengan galakan daripada Baginda sendiri, peluang seumpama ini tidak harus dilepaskan oleh umat Islam. Apalagi jika mengetahui fadilat yang diberikan kepada mereka yang berpuasa pada hari Asyura.
Namun demikian, puasa yang dilakukan itu mestilah diiringi dengan puasa pada 9 Muharam bersandarkan dalil yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a. daripada Baginda s.a.w.
“Kalaulah aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan.” (HR Muslim)
Bagaimanapun kudrat Allah S.W.T. mengatasi segalanya, Baginda s.a.w. telah wafat sebelum sempat melaksanakannya pada tahun berikutnya.
Sekalipun para ulama menggalakkan untuk puasa pada hari kesembilan (Tasu’a), namun tidaklah menjadi satu kesalahan jika hanya berpuasa pada hari Asyura. Dan sekiranya tidak mahu berpuasa pada hari Tasu’a bagi mengiringi 10 Muharam, maka disunatkan agar berpuasa pada 11 Muharam.
Para ulama telah menyatakan, antara hikmah disunatkan berpuasa pada hari Tasu’a yang mengiringi puasa hari Asyura adalah sebagai satu ihtiyat iaitu langkah berhati-hati kerana bimbang berlakunya kesilapan pada menetapkan awal bulan.
Bukan itu sahaja, malah ia bertujuan membezakan kita dengan puasa orang Yahudi agar tidak tasyabbuh (menyerupai), kerana mereka hanya berpuasa pada hari Asyura. Selain itu, dengan berpuasa pada hari Tasu’a juga ia mengelakkan dari berpuasa pada satu hari yang ditegah Baginda seperti hari Jumaat.
Kaedah Tepat Berpuasa
Maka yang demikian itu, terdapat beberapa cara dalam melaksanakan puasa hari Asyura iaitu dibolehkan untuk berpuasa pada hari Asyura sahaja atau berpuasa pada hari Tasu’a mengiringi hari Asyura.
Cara yang ketiga adalah berpuasa pada hari Asyura dan 11 Muharam. Bagaimanapun bagi Imam Syafie, berpuasa selama tiga hari iaitu 9, 10 dan 11 Muharam adalah lebih baik.
Selain mendapat pahala sunat atas ibadah tersebut, mereka yang berpuasa pada hari itu juga akan diampunkan dosanya yang lalu sebagaimana riwayat dari Abi Qatadah,
“Rasulullah ditanya tentang puasa pada hari Asyura, Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku mengharapkan Allah akan menghapuskan dosa satu tahun yang lalu.” (HR Muslim)
Oleh yang demikian, bagi yang ingin berpuasa pada hari tersebut ia sememangnya dialu-alukan kerana mengikut sunnah Baginda s.a.w. Namun bagi yang tidak ingin berpuasa tidak ada kesalahan baginya.
Niat Puasa Tasu’a
Nawaitu souma ghadin an-adaa-i sunnatit tasuu’a lillaahi ta’aala
“Sahaja aku berpuasa sunat tasu’a esok hari kerana Allah taala” Wallahu a’lam
________________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

