PENGUNDI di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam perlu memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Rayuan itu dinyatakan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang membantu kempen Reezal Merican di DUN Bertam, hari ini.
Khairy turut merayu pengundi DUN Bertam supaya mengetepikan sentimen gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) dengan menyokong Reezal Merican.
Menurut Khairy, pemilihan wakil rakyat di peringkat DUN perlu dibuat berdasarkan kelayakan dan kemampuan memberi khidmat terbaik.
Katanya, ia agak berbeza dengan memilih Ahli Parlimen kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menyelesaikan banyak masalah harian penduduk setempat.
“Sangat penting (untuk keluar mengundi) sebab tanggungjawab kita untuk pilih calon terbaik. Di Bertam ini saya tahu ada ramai enggan mengundi calon BN disebabkan faktor tertentu. Ketepikan BN itu sekejap, tengok Reezal Merican. Undilah beliau.
“Satu undi untuk Reezal Merican (hanya) untuk Reezal Merican, tak lebih daripada itu. Satu undi untuk Reezal Merican bukan untuk Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi).
“Saya datang ke Bertam atas alasan persahabatan dengan Reezal Merican. Beliau adalah kawan baik saya dalam UMNO dulu. Saya tahu dia boleh buat kerja dan pandai selain memiliki banyak pengalaman sama ada dalam parti atau kerajaan.
“Beliau juga adalah pewaris perjuangan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini. Saya tak mahu ia terputus, Pak Lah (Abdullah) wakil rakyat di sini sejak 1970-an dan harap Reezal Merican dapat meneruskan ini walaupun ada sedikit gangguan pada PRU15,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Berbekal pengalaman menteri, Reezal Merican yakin dapat bawa pembangunan
Reezal Merican yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal bersaing dengan pencabarnya, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dari Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi DUN Bertam pada PRN Pulau Pinang.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mengakui BN berpeluang menjadi sebahagian daripada kerajaan Pulau Pinang, jika berjaya menerima mandat daripada pengundi pada PRN kali ini.
“Kalau dari segi keadilan, jika PH-BN menang di Pulau Pinang, mestilah ada tempat untuk BN dalam kerajaan kerana sudah bergantung harap kepada jentera dan pengundi BN. Kalau menang nanti, mestilah ada calon BN, contohnya Reezal Merican,” katanya.
Pada masa sama, beliau memaklumkan tidak akan membantu kempen mana-mana calon PH sebaliknya memberi sokongan kepada calon BN dan segelintir wakil PN.
Sementara itu, Reezal Merican mengakui tersentuh kerana mendapat sokongan dan bantuan daripada Khairy ketika pecutan terakhir tempoh kempen pada PRN Pulau Pinang.
“Dia (Khairy) ini sudah macam adik dan saya pula adalah anak didik Pak Lah. Dia datang mahu beri kekuatan tambahan agar akhirnya saya boleh dipilih mewakili Bertam dan meneruskan legasi Pak Lah.
“Saya mengharapkan seramai mungkin pengundi dapat turun menjalankan tanggungjawab. Ini hak yang sangat penting.
“Saya belajar kekalahan pada lapan bulan lalu (PRU15) dan akan terus memberi sentuhan kepada seramai mungkin pengundi di sini,” katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Kepala Batas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

