“CUKUP-CUKUPLAH berpolitik, rakyat dah penat, beta pun dah penat dengar.”
Demikian titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengingatkan supaya semua ahli-ahli politik memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan negara demi masa depan rakyat.
Dalam titah selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco), Sultan Sharafuddin bertitah supaya negeri itu dapat bangkit semula seperti mana zaman kegemilangannya tidak lama dahulu.
Sultan Selangor turut menasihatkan semua ahli politik supaya sentiasa memelihara integriti dengan menjauhkan diri daripada perbuatan rasuah dan salah guna kuasa demi kepentingan sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas.
“Bangunlah ahli-ahli Yang Berhormat semua, fikirkanlah masa depan negeri, negara dan masa depan anak cucu kita.
“Usia beta telah menjangkau 78 tahun, adalah menjadi harapan dan impian beta agar sebelum beta menutup mata dijemput Ilahi, beta dapat melihat Selangor bangkit semula, maju ke hadapan dari segenap sudut yakni pembangunan fizikal dan kerohanian; pertumbuhan ekonomi yang mampan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di mana rakyat hidup dalam keadaan selesa serta kemakmuran berpanjangan,” titah Sultan Selangor.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Ahli Majlis Kerajaan Selangor (Exco) di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
Baca artikel berkaitan: Tujuh muka baharu anggotai Exco Selangor
Dalam titah yang sama, Sultan Sharafuddin turut menyentuh tentang insiden melibatkan penggunaan kata-kata kesat dan biadab dilemparkan segelintir pemimpin parti politik ketika siri kempen semasa pilihan raya dengan mengheret institusi diraja.
Titah Sultan Selangor, keadaan yang berlaku itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli politik terhadap institusi diraja dan Kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan bangsa lain.
Sultan Sharafuddin bertitah, sikap biadab segelintir ahli politik itu telah melangkaui batasan dan nilai keperibadian orang Islam serta Melayu yang sering dipelihara.
“Ingatlah, jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing.
“Malah, sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampau batas.
“Ke mana hilangnya budi bahasa, ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang.
“Beta menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara,” titah Sultan Selangor.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

