Pada zaman sekarang, kisah kelahiran bayi kembar lebih daripada sepasang adalah perkara biasa. Peluang untuk mendapat anak kembar lebih daripada dua kini lebih mudah melalui perubatan moden dengan pelbagai rawatan kesuburan.
Namun, ia berbeza dengan zaman dahulu di mana masyarakat ketika itu masih tabu dengan kelahiran begini. Dahulu, apa saja kelainan dalam kelahiran akan dijadikan sebagai tontonan umum. Begitu juga dengan kelahiran kembar yang ramai, sesuatu yang jarang berlaku ketika itu.
Salah satu kisah kembar yang dijadikan bahan pameran untuk keuntungan ialah kembar lima Dionne. Kembar lima perempuan ini dilahirkan pada 28 Mei 1934 di Ontario, Kanada. Mereka berlima dinamakan sebagai Yvonne Edouilda Marie, Annette Lillianne Marie, Cecile Marie Emilda, Emilie Marie Jeanne dan Marie Reine Alma.

Sejak hari pertama dilahirkan, pasangan kembar ini sudah menjadi perhatian. Ini kerana ketika itu belum pernah ada kelahiran kembar seramai lima orang sekaligus yang juga berjaya hidup dan membesar sihat seperti kanak-kanak lain.
Sayangnya, ibu bapa kembar lima ini tidak mampu untuk membela kelima-lima mereka kerana kesempitan hidup. Tambahan pula mereka sudah mempunyai lima orang anak sebelum kehadiran kembar lima ini.
Disebabkan kesukaran hidup, mereka terpaksa menyerahkan kembar lima ini yang berusia empat bulan kepada pihak lain. Kerajaan tempatan Ontario kemudian mengarahkan kembar Dionne ini diserahkan penjagaannya di bawah jagaan Dr. Allan Roy Dafoe, iaitu doktor yang menyambut kelahiran kembar lima tersebut.
Di bawah jagaan Dr. Dafoe, kembar lima itu ditempatkan di sebuah institusi kebajikan yang terletak di dalam kawasan hospital dan pusat jagaan Dafoe. Namun begitu, Dr. Dafoe turut mengambil kesempatan dengan mempergunakan kembar lima ini untuk mencari keuntungan.


Setiap hari, kembar Dionne perlu mengikut jadual yang disusun ketat. Kembar lima ini akan dipamerkan kepada orang ramai yang datang hanya kerana mahu menyaksikan kembar-kembar tersebut. Apa saja aktiviti dilakukan kembar ini akan jadi tatapan pelawat. Kehidupan kembar ini tidak ubah bagaikan haiwan di dalam zoo.
Ketika itu, kelahiran kembar Dionne dianggap sesuatu yang aneh dan perkara sebegitu membuatkan ramai pelawat ingin melihat kembar lima itu dari dekat. Secara tidak langsung, ia membawa keuntungan.
Kembar lima Dionne hidup bagaikan dalam penjara di institusi itu. Bukan saja terkurung dan dijadikan bahan uji kaji dan dieksploitasi sebagai bahan pameran, pelbagai barangan seperti anak patung dan cenderahati berasaskan kembar itu turut dihasilkan untuk dijual.
Selama sembilan tahun kembar itu terkurung di situ dan dipergunakan untuk mendapatkan wang, akhirnya pada tahun 1943, kembar Dionne berjaya dikeluarkan dari institusi itu setelah ibu bapa mereka menang hak penjagaan mereka di mahkamah.




Terus Dieksploitasi
Kembali semula ke pangkuan keluarga bukan bermakna kembar lima ini boleh hidup tenang dan menjalani zaman kanak-kanak dengan bebas seperti yang diharapkan.
Bukan saja membeli rumah menggunakan wang tabung amanah kembar lima itu, ibu bapa mereka turut mengatur pelbagai siri jelajah dengan menjadikan kembar lima ini sebagai bahan pameran. Tujuannya sudah tentu untuk mengaut keuntungan.
Ternyata ibu bapa mereka juga mempunyai niat yang sama, mengekspoitasi kembar lima ini demi wang. Malah, kembar ini juga menceritakan mereka turut didera fizikal dan emosi oleh orang tua mereka. Bukan hanya dijadikan bahan pameran, tetapi juga dikerah melakukan pelbagai kerja.

Disebabkan itu, setelah mencapai usia 18 tahun, kembar lima ini membuat keputusan meninggalkan rumah ibu bapa mereka dan memutuskan terus perhububungan dengan keluarga mereka.
Kembar lima ini membuat keputusan untuk hidup terpencil, jauh dari gangguan orang luar dan publisiti. Tiga daripada mereka berkahwin dan mempunyai anak. Seorang lagi memilih menjadi biarawati manakala seorang lagi menjadi pustakawan.
Kini, hanya dua daripada lima kembar itu yang masih hidup iaitu Annette dan Cecile yang tinggal di rumah kebajikan orang tua berikutan kesihatan yang semakin merosot.
Sebelum itu pada tahun 1998, kerajaan Ontario telah membayar pampasan bernilai lebih 16 juta kepada kembar itu atas apa yang telah mereka alami semasa kecil dahulu.
Sayangnya, wang itu telah diambil oleh anak Cecile yang kemudian menghilangkan diri dengan duit pampasan tersebut.



________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

