TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Peguam Negara menarik balik 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai sesuatu yang tidak bermoral.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, hal itu memandangkan Ahmad Zahid telah didakwa ke mahkamah dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen serta 99 orang saksi.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, hal itu bermakna mahkamah telah berpuashati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Ahmad Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.
“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah.
“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai?
“Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun,” soalnya menerusi kenyataan yang dimuatnaik di aplikasi Facebook hari ini.
Baca juga: Peguam Negara perlu beri penjelasan terbuka kes Ahmad Zahid – DAP
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pengguguran pertuduhan ke atas Ahmad Zahid selepas diarah membela diri di mahkamah merupakan titik hitam dalam sistem keadilan negara.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil tanggunjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang sedang berlaku dalam sistem keadilan negara.
Muhyiddin mendakwa, kerosakan yang berlaku itu berpunca daripada kerakusan Anwar untuk mengekalkan kuasa sebagai Perdana Menteri.
“Ia membuktikan sikap munafik beliau yang nyata. Slogan reformasi institusi dan tatakelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja.
“Keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia.
“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. Malaysia telah menjadi a rogue state atau negara penyangak.
“Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

