PENYANYI yang memiliki iras Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee iaitu Fairuz Misran,38. dilaporkan meninggal dunia pada pukul 1.30 petang hari ini di Hospital Licious, Labuan, Sabah.
Berita sedih itu dikongsikan oleh abang Allahyarham, Ruzaidi Misran menerusi hantaran di Facebook.
“Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi, Fairuz Misran telah kembali ke Rahmatullah.
“Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman,” tulisnya.
Bagaimanapun, Ruzaidi tidak memperincikan punca kematian arwah.
Fairuz pernah menjuarai pertandingan bintang P.Ramlee peringkat kebangsaan pada 2012.
Arwah digelar sebagai klon P.Ramlee kerana memiliki rupa paras dan vokal yang serupa dengan Seniman Agung itu.

