PELAKON Jalil Hamid dilaporkan meninggal dunia pukul 12.30 tengah hari ini.
Khabar duka itu dikongsikan oleh anak perempuannya, Afiqah Jalil menerusi hantaran di Instagram.

“Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk ayah. Ayah dah tiada.
“Solat jenazah di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam.
“Dijangka jenazah akan dikebumukan selepas solat Asar di. Tanah Perkuburan USJ21, Subang Jaya,” tulisnya.
Allahyarham sebelum ini pernah berdepan masalah jantung bengkak sekitar tahun 2022.
Jalil atau nama sebenarnya Abdul Jalil Abdul Hamid,69 yang berasal dari Johor Bahru memulakan karier seni pada tahun 80-an.
Sejak dari era itu, arwah banyak membintangi drama, filem selain turut menceburkan diri dalam dunia nyanyian dan pentas lawak.
Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Allahyarham dikenali sebagai seorang pelakon yang mampu menguasai watak air mata mahupun komedi dengan begitu berkesan.
Antara lakonan layar peraknya yang paling meninggalkan kesan di hati penonton termasuklah naskhah hebat Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam.
Tidak hanya di layar lebar, kecemerlangan beliau turut terpancar menerusi drama-drama ikonik seperti Cucu Atuk, Beca Usang, dan naskhah terakhir yang menyentuh jiwa, Ayahanda.
Bakat besar yang dimiliki Allahyarham bukan sekadar dipuji, malah melayakkan beliau meraih pelbagai pengiktirafan berprestij sepanjang dekad pembabitannya.
Allahyarham bukan sekadar jaguh di hadapan kamera, malah pernah mencuri perhatian dunia muzik menerusi lagu Ayam pada awal 1990-an.
Lagu yang sarat dengan elemen sindiran dan humor itu membuktikan bahawa kreativiti beliau melangkaui sempadan lakonan.
Bagi warga seni, pemergian Jalil Hamid merupakan satu kehilangan besar terhadap “kamus rujukan” industri.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh yang sangat pemurah dengan ilmu.
“Pemergian Jalil Hamid sudah pasti meninggalkan kesan mendalam kerana beliau sering kali dijadikan rujukan buat pelakon-pelakon komedi dan penyanyi baharu.
“Allahyarham sememangnya tidak kedekut ilmu dan sentiasa bersedia untuk berkongsi pengalaman.
“Segala gelak tawa dan hasil kerja beliau akan dikenang sepanjang zaman oleh kami warga industri serta seluruh peminat,” ujar Hafiz penuh hiba.
Pihak Seniman turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala pengorbanan, pandangan, dan kerjasama yang diberikan Allahyarham dalam pelbagai program persatuan sebelum ini.
Segala keringat yang telah dicurahkan oleh Allahyarham kini menjadi warisan berharga buat pelapis seni masa kini.
“Kami mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
“Pihak Seniman juga berharap agar seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan, keredaan, dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian kehilangan ini,” tambahnya lagi.
Sesungguhnya, industri seni kehilangan seorang ‘ayah’, guru, dan penghibur yang tiada penggantinya.
Karya-karya Allahyarham akan terus hidup dalam ingatan, menjadi saksi bisu kepada sebuah dedikasi yang tidak pernah luntur demi memartabatkan seni tanah air.

