AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendakwa kerajaan memungkiri janji yang mereka berikan kepada rakyat ketika Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dengan menyatakan akan memerangi rasuah dan membawa pembaharuan.
Presiden MUDA itu yang enggan melepaskan jawatan Ahli Parlimen walaupun didesak demikian selepas mengumumkan keluar dari blok kerajaan berkata, bukan dia yang mengkhianati janji kepada pengundi pada PRU ke-15 yang lalu.
“Apa platform yang kita berjuang? Sebelum PRU kita (kata) takkan gugurkan rasuah, akan lawan rasuah, akan bawa reforms (pembaharuan).
“Apa yang dijanjikan sebelum PRU dengan lepas PRU bagai langit dan bumi,” katanya semasa bercakap dalam siaran langsung di media sosial malam ini selepas mengumumkan keluar dari kerajaan sebagai protes keputusan Peguam Negara menarik balik 47 kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Syed Sadiq berkata, Pakatahan Harapan (PH) sebelum ini berikrar mahu mengheret Presiden UMNO ke muka pengadilan kerana dakwaan rasuah – namun kini menarik balik semua pertuduhan terhadapnya.
Dia juga berkata, reformasi yang dijanjikan PH kini telah “dibatu-nisankan”.
“Jikalau saya perlu kosongkan kerusi kerana ingin lawan rasuah, saya cadang beli cermin untuk ahli parlimen atau menteri yang kata perkara tersebut.
“Kalian semua perlu kosongkan kerusi juga. Sejak bila kamu dipilih untuk gugurkan rasuah. Adakah kamu sedia untuk kosongkan kerusi juga,” katanya.
Terdahulu, Syed Saddiq mengumumkan keluar daripada blok kerajaan sebagai membantah pihak pendakwaan yang menarik balik 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dalam kes rasuah berkaitan Yayasan Akalbudi.
Sementara itu dalam siaran langsung tersebut, Syed Saddiq membangkitkan keraguan terhadap penjelasan kerajaan bahawa Jabatan Peguam Negara telah bertindak secara bebas dalam menarik balik pertuduhan terhadap timbalan perdana menteri itu.
Mengulas mengenai kes Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, Syed Saddiq berkata, keputusan mengenai kes mereka adalah dibuat oleh hakim mahkamah tetapi kes Ahmad Zahid dibuat oleh Peguam Negara.
“Ada menteri sengaja putar kenyataan katanya kononya hakim yang buat keputusan melepaskan Zahid, jangan tipu rakyat.., mereka sudah cerdik sekarang,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

