LAPORAN awal nahas pesawat Hawker Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina, 17 Ogos lalu mendapati kedua-dua juruterbang tidak mempunyai masalah kesihatan serius.
Laporan tersebut memaklumkan, ia berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal kedua-dua juruterbang terbabit.
Pada masa sama, berdasarkan kenyataan saksi, juruterbang pesawat nahas Elmina itu juga mendapat rehat secukupnya sebelum penerbangan dari Langkawi pada hari kejadian.
Justeru, laporan berkenaan menyebut, tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.
Laporan itu memaklumkan, punca nahas itu akan didedahkan dalam laporan akhir.
Namun begitu, laporan tersebut memberitahu analisis awal rakaman perakam suara kokpit (CVR) pesawat telah memberi petunjuk kritikal kepada punca kemalangan.
Katanya, fokus adalah kepada sistem kawalan penerbangan pesawat.
Laporan awal itu juga menyatakan pesawat tersebut tidak dapat diselamatkan kerana magnitud data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.
Hasil siasatan ke atas pesawat mendapati ia mempunyai sijil kelayakan udara yang sah dan dikekalkan mengikut peraturan.
Juruterbang juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada.
“Kejadian berlaku pada waktu siang dengan kadar penglihatan jelas dan keadaan meteorologi yang baik manakala jarak penglihatan adalah 10 kilometer,” katanya.
Hasil siasatan juga mendapati juruterbang pesawat itu sudah menghubungi menara kawalan untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, pada jam 2.47 petang.
Baca artikel berkaitan: Nahas Elmina: Laporan awal sudah boleh diakses, laporan akhir Ogos 2024
Pada jam 2.48 petang, kebenaran untuk mendarat di landasan 15 diberikan dan dalam beberapa saat, pesawat Beechcraft Premier 1 itu menerima maklum balas berkenaan.
Bagaimanapun, selepas itu tiada transmisi radio kedengaran dari pesawat itu sebelum nahas dilaporkan hingga mengorbankan 10 nyawa.
Berdasarkan laporan itu, data mendapati pada jam 2.47 petang, pada ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pengurangan kelajuan dan penurunan.
Dalam tempoh dua minit, iaitu pada jam 2.49 petang, pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki, yang menjadi penghantaran data terakhir direkodkan.
Laporan awal merumuskan ‘ground speed’ semasa pusingan kanan pesawat itu adalah antara 146 dan 154 knot.
Laporan mengandungi 60 muka surat itu dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada pukul 10 pagi tadi.
Dalam kejadian pada 17 Ogos itu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan kru, terhempas di kawasan Elmina.
Semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, selain dua orang awam iaitu seorang penunggang p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang melalui tempat kejadian.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

