SEORANG murid perempuan di Indonesia buta mata kanannya selepas ditusuk lidi bakso oleh pelajar seniornya dalam kejadian di sebuah sekolah di Gresik, Jawa Timur, baru-baru ini.
Nasib malang menimpa Sah, 8, selepas dia menjadi mangsa pemerasan pelajar senior yang tidak dikenalinya yang berang selepas mangsa enggan menyerahkan wang sakunya sebagaimana diminta di sekolah.
Menurut bapa mangsa, Samsul Arif, 36, anaknya kini tidak dapat melihat selepas pemeriksaan perubatan mendapati ada araf di matanya yang tidak berfungsi.
Katanya, walaupun mata anaknya kelihatan normal namun dia tidak dapat melihat.
“Sudah sebulan anak saya tidak ke sekolah. Mata kanannya kalau dilihat seperti normal, tapi sebenarnya tidak bisa melihat, akibat ditusuk lidi bakso.
“Anaknya masih trauma seperti ketakutan, jadi tidak banyak bercakap,” ucap Samsul,” kata Samsul kepada Tribunnews.com.
Mengulas lanjut, Samsul berkata, lebih mengecewakannya, pihak sekolah enggan membenarkannya melihat rakaman kejadian yang berlaku pada 7 Ogos lepas menerusi kamera litar tertutup sekolah.
Katanya, dia hanya mahu mengetahui pelajar bertanggungjawab yang menyebabkan anaknya buta.
“Padahal saya ingin tahu siapa pelakunya. Anak saya tidak tahu siapa nama pelakunya, tapi tahu wajahnya,” kata Samsul yang kini membawa kes tersebut kepada polis.
Kata Samsul, berdasarkan pendedahan terbaharu anaknya, Sah sering diperas semasa berada di sekolah sehingga trauma dan ingin pindah sekolah.
Ujarnya, dia memberikan wang saku sebanyak Rp10,000 kepada anaknya namun duit itu habis kerana sering diminta pelajar lain sehingga Sah tidak dapat membeli makanan kerana diperas.
“Hingga pada 7 Ogos lalu, Sah enggan memberikan wangnya kepada pelajar senior itu yang berakhir anaknya ditusuk pada matanya,”tambahnya.
Sementara itu, Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Menganti, Ekwan berkata, kes melibatkan Sah sedang disiasat polis.

