Terdapat ribuan restoran dan gerai yang menyajikan masakan dari negara Gajah Putih namun keenakan dan rasa autentik hidangannya belum tentu terjamin.
Atas sebab itu, Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Promosi (DITP) Kementerian Perdagangan Thailand mengambil inisiatif memudahkan penggemar hidangan Thailand memilih restoran terbaik menerusi pensijilan Thai SELECT.
Pensijilan atau logo dari DITP ini diberikan restoran yang menghidangkan serta menjual makanan autentik Thai melalui proses dan langkah memasak dengan bahan mengikut resipi Thai.
Menurut Pengarah DITP Malaysia, Worawan Wanwil, pensijilan ini terbuka kepada semua pengusaha restoran di Malaysia yang mengenengahkan hidangan Thailand.
“Buat masa ini, terdapat dua cara untuk mendapatkan pensijilan ini iaitu sama ada kami datang ke restoran secara rambang untuk membuat penilaian atau pemilik sendiri membuat pendaftaran dan kami akan lakukan penilaian secara ‘rahsia’.
“Apa yang penting, sesebuah restoran itu wajib menggunakan bahan asli dari Thailand dan menghidangkan menu autentik dan enak kepada pengunjung,” jelasnya kepada media.

Pensijilan Thai SELECT melibatkan tiga kategori iaitu signature, classic dan casual di mana pensijilan signature yang berwarna emas diberikan kepada restoran mewah, classic berwarna merah dianugerahkan kepada restoran Thai yang berkualiti tinggi manakala casual berwarna biru dianugerahkan kepada restoran biasa atau kedai makan berkapasiti agak kecil.
Sehingga kini, sebanyak 26 restoran di Malaysia telah menerima pensijilan Thai SELECT yang merangkumi ketiga-tiga kategori dan antaranya ialah Malai Thai Cuisine.

