PENYANYI Usop kecewa apabila masih ada sesetengah penggiat muzik tempatan yang lebih memilih pempengaruh untuk diangkat dalam industri biarpun mereka tiada bakat.
Usop atau nama penuhnya Muhamad Saiful Naim Mohd Noor berpendapat, penyanyi yang pernah dicungkil bakatnya menerusi uji bakat program realiti seharusnya diberi keutamaan memandangkan sudah diadili oleh barisan juri profesonal.
“Sekarang ini artis perlu bersaing dengan ‘TikTokers’ atau pempengaruh media sosial. Tidak seperti saya dahulu bermula daripada program realiti dan memang sangat sukar untuk menjadi penyanyi.
“Kini, saya lihat senang sahaja seseorang itu dikenali atau diangkat sebagai artis, termasuk pempengaruh. Melihat keadaan ini, saya rasa macam senang betul hendak menjadi artis. Ia tak sama dengan situasi saya yang perlu menjalani uji bakat.
“Saya datang uji bakat seawal jam 6 pagi dan selesai pada jam 2 pagi keesokannya dan rasanya memang penat. Tetapi, kita boleh lihat dari segi perbezaan kualiti artis daripada program realiti dengan artis media sosial,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hafiz lega impian 20 tahun nak jadi pengarah tercapai, Mat Kola filem sulung ‘makan’ kos RM1 juta
Disebabkan itu, Usop akui terasa hati dan mengangap usahanya selama ini hanya sia-sia.
“Cuma saya tertanya-tanya kenapa industri hiburan di negara ini jadi sebegini dan kadang-kadang ada yang keluarkan lagu merepek-repek dan entah apa-apa.
“Jika dahulu penyanyi bersusah-payah keluarkan lagu yang baik, tetapi sekarang lagu merepek itu yang senang naik, malah dijemput pula ke program TV atau radio,” luahnya.
Justeru, Usop berpendirian tegas untuk tidak menjalinkan sebarang kerjasama dengan mana-mana pempengaruh pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, Usop bakal muncul dengan filem berjudul Mat Kola arahan Hafiz Nafiah.
Selain Usop, filem bergenre komedi itu turut dibintangi Azman Ahmad, Taiyuddin Bakar, Ropie, Rozita Che Wan, Putri Hanan dan ramai lagi.
Filem komedi terbitan AA Success Pictures Sdn Bhd itu sepenuhnya menggunakan loghat Kedah dan akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 21 September ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

