Apa perlu dilakukan jika batal solat ketika makmum berjamaah?

Dari Penulis

Walaupun solat sendirian disunatkan untuk membuat sutrah namun para ulama sepakat bahawa makmum dalam solat jamaah tidak disunnahkan untuk membuat sutrah kerana imam adalah sutrah bagi makmum terutama di saf pertama.

Akan tetapi persoalannya, ketika sedang solat berjamaah seperti solat Jumaat, tiba-tiba salah seorang makmum terbatal solat kerana hadas, jadi adakah boleh ia lalu di hadapan para makmum yang lain? Atau bolehkah ia lalu di antara saf solat jamaah? Dalam hal ini terdapat dua pendapat.

Pertama, hukumnya tidak boleh berdasarkan keumuman larangan dalam hadis Abu Juhaim yang disebut di atas. Selain itu gangguan yang ditimbulkan oleh orang yang lalu itu sama dengan orang yang solat sendiri mahupun berjamaah.

Kedua hukumnya boleh berdasarkan perbuatan Abdullah Ibnu Abbas r.a. dengan katanya,

“Aku datang dengan menunggang keldai betina. Ketika itu aku hampir menginjak masa baligh. Baginda s.a.w. sedang solat di Mina dengan tidak menghadap ke dinding. Maka aku lalu di depan sebahagaian saf. Kemudian aku melepaskan keldai betina itu supaya mencari makan sesukanya. Lalu aku masuk kembali di tengah saf dan tidak ada seorang pun yang mengingkari perbuatanku.” (HR Bukhari muslim)

Dalam situasi ini, setiap perbuatan sahabat nabi yang diketahui oleh Baginda s.a.w. dan para sahabat lain, jika tidak diingkari maka itu boleh menjadi hujah. Dan ini merupakan sunnah taqriyyah iaitu sunnah yang berasal dari persetujuan Baginda s.a.w. terhadap sebuah perkataan atau perbuatan. Sehingga sunnah taqriyyah ini merupakan takhsis (pengkhususan) dari dalil umum hadis Abu Juhaim.

Adapun yang sahih, boleh lalu di depan para makmum solat jamaah yang melakukan hal ini dan ia tidak berdosa dengan dalil perbuatan Ibnu Abbas r.a. namun andaikan boleh menghindari atau meminimumkan hal itu ia lebih disukai.

Jika makmum tersebut berada di saf hadapan atau tengah-tengah, maka keluarlah melalui barisan safnya yang paling hampir dengan pintu atau yang paling memudahkan ia untuk keluar. Jumhur Ulama juga menyebutkan dia perlu keluar dengan bersegera akan tetapi jangan sehingga melanggar atau menolak jemaah lain.

Pastinya apabila kita solat, sudah tentu kita tidak ingin mendapatkan gangguan sedikit pun, maka hendaknya kita pun berusaha untuk tidak memberikan gangguan kepada orang lain.

Ia bertepatan dengan hadis Baginda s.a.w.

Tidak beriman seseorang sampai ia menyukai sesuatu ada saudaranya sebagaimana ia menyukai sesuatu itu ada pada dirinya.”

Adapun apabila seseorang yakin terbatal solat maka hendaklah dia segera keluar dari solatnya dan tidak meneruskan solat tersebut mahupun menunggu sehingga Imam memberi salam.  Dalam hal ini Baginda mengajarkan cara keluar solat daripada saf apabila terbatal wuduknya. Dalam satu hadis diriwayatkan dari Abu Daud, dari Aisyah r.ha bahawa Nabi bersabda,

“Sekiranya seseorang berhadas ketika sedang mendirikan solat, hendaklah dia memegang hidungnya dan segera beredar daripada saf” (HR Abu Daud)  

Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya sesiapa yang berhadas ketika solat dan ingin keluar daripada safnya, hendaklah dia memegang hidungnya dan segera beredar dengan pantas.

Hal ini supaya para jemaah yang lain menyangka bahawa seseorang yang keluar daripada saf solat tersebut disebabkan keluar darah dari hidungnya, maka dengan itu dapat menjaga air muka dan maruahnya.

Selain itu, seseorang itu mungkin berasa keberatan dan malu untuk keluar disebabkan oleh hadas, maka perbuatan tersebut akan menyebabkannya tidak berasa terlalu segan.

Solat Di Masjidil Haram

Begitu juga bagi yang solat di Masjidil Haram. Sebahagian ulama membolehkan secara mutlak kerana darurat disebabkan banyaknya, dan merupakan tempat lalu lalang orang-orang dalam rangka tawaf dan lainnya.

Syaikh Soleh al-Fauzan menyatakan, “demikian juga jika seseorang solat di Masjidil Haram maka tidak perlu menghadang orang yang lalu di depannya, kerana terdapat hadis bahawa Nabi s.a.w. pernah solat di Mekah. Orang-orang melalui beliau, ketika itu tiada sutrah di hadapan beliau. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Khamsah

Akan tetapi masih ada juga pandangan sebahagian ulama yang tetap melarang berdasarkan keumuman hadis Abu Juhaim. Syaikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin menjelaskan, tiada perbezaan hukum lalu di hadapan orang solat, baik di Mekah mahupun selain Mekah.

Tidak ada hujah bagi yang mengecualikan larangan ini dengan hadis Nabi s.a.w.

“Nabi pernah solat (di Mekah) orang-orang melalui beliau, ketika itu tidak ada sutrah di hadapan beliau”

kerana dalam hadis ini terdapat perawi yang majhul. Adanya perawi yang majhul adalah kecacatan bagi hadis.

Andaikan hadis ini sahih, maka kita bawa kepada kemungkinan bahawa nabi s.a.w. solat ditempat orang bertawaf. Dan orang yang tawaf itu adalah orang-orang yang lebih berhak berada di tempat tawaf. Kerana tidak ada tempat lain selain ini. Sedangkan orang yang solat dia boleh sahaja solat di tempat lain.

Orang yang tawaf tidak memiliki tempat lain selain sekeliling kaabah sehingga ia lebih berhak. Demikian andaikan hadisnya sahih. Oleh kerana itu Imam Bukhari dalam sahihnya telah membincangkan bab sutrah di Mekah dan tempat lainnya.

Bermakna menurut beliau, hukum sutrah di Mekah dan tempat lain juga sama. Dari penjelasan beliau ini juga dapat difahami, jika seseorang solat di tempat melakukan tawaf, maka boleh dilalui kerana orang yang tawaf lebih berhak untuk berada ditempat tawaf.

Yang paling utama dalam masalah ini adalah rincian yang dipaparkan oleh Ibnu Abidin Rahimullah dan sebahagian ulama Malikiyyah. Wallahu a’lam

________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This