SEORANG pengawal peribadi menyamar polis ditahan selepas bertindak mengugut pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan dekat Bandar Sungai Long, Kajang pada 10.30 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun pada malam semalam.
Beliau berkata, pengadu telah meminta pengenalan diri suspek untuk didaftarkan sebagai pelawat selepas suspek ingin masuk ke dalam kawasan perumahan untuk berjumpa teman wanita.
“Suspek bagaimanapun enggan memberi kerjasama dan suspek tidak puas hati apabila diminta lesen berulang kali.
“Suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai polis namun tidak dipercayai oleh pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, suspek kemudian membuka pintu kereta dan menunjukkan sepucuk pistol yang terselit di pinggang.
Malah suspek juga telah mengugut dan memarahi pengadu dengan kata-kata kesat sehingga menyebabkan pengadu ketakutan sebelum membenarkan suspek masuk ke kawasan perumahan.
“Suspek seorang lelaki India berusia 26 tahun telah ditahan bersama sepucuk pistol dan 10 butir peluru”.
Semakan mendapati suspek bukan seorang anggota polis dan bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah syarikat kawalan keselamatan.
Suspek juga memiliki surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru yang dikeluarkan untuk tujuan penugasan dengan syarikat kawalan keselamatan.
“Suspek tidak memiliki rekod lampau jenayah dan ujian saringan air kencing adalah negatif,” ujarnya.
Suspek kini direman selama empat hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 506/170 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

