Didik anak menderma

Dari Penulis

Menderma atau memberi sumbangan kepada seseorang adalah satu amalan mulia. Ia dipercayai mampu menarik seribu satu kebaikan dalam diri dan hidup seseorang individu yang telah menderma.

Justeru, bagi membentuk tabiat positif dalam diri anak-anak, sewajarnya amalan mulia seperti ini sewajarnya didedahkan sejak mereka masih kecil. Secara tidak langsung, langkah ini juga dapat mendidik anak-anak ‘berkongsi’ wang atau barang-barang milik mereka kepada insan yang memerlukan.

Menurut Perunding Motivasi Bertauliah, Zaid Mohamad menerusi buku tulisannya, Ibu Bapa Bijak, Anak Mewah, antara langkah atau cara yang boleh anda lakukan untuk menerapkan budaya positif ini dalam diri anak-anak adalah dengan melakukan perkara seperti di bawah:

Membawa Anak-anak Melawat Orang Kurang Berkemampuan

Satu cara atau kaedah berkesan untuk mendidik anak-anak berkongsi ‘kelebihan’ yang dimiliki bersama orang lain adalah dengan membawa mereka melawat tempat kejadian. Ini memberi peluang kepada mereka untuk melihat dan mengalami sendiri kesusahan individu yang kurang berkemampuan menjalani kehidupan.

Jadi, apa kata buat jadual waktu untuk membawa keluarga ke rumah anak-anak yatim, pusat kanak-kanak keperluan khas atau tempat-tempat di mana terdapat individu yang kurang berkemampuan tinggal. Pastinya pengalaman bertemu dengan orang-orang yang kurang bernasib baik ini mampu menyentuh perasaan anda sekeluarga sekali gus membuka hati anak-anak untuk turut sama menderma apa yang termampu.

Beri Anak-anak Wang Untuk Menderma Dengan Sendiri

Bagi melatih anak-anak menderma, anda seharusnya menjadikan amalan tersebut sebagai satu rutin. Caranya adalah dengan memperuntukkan wang (untuk mereka) dan menyerahkannya sendiri kepada individu tertentu.

Sebagai contoh, sekiranya anda berjalan-jalan di pusat membeli-belah berhampiran rumah dan bertemu sekumpulan pemuzik buta bermain alat muzik untuk mendapatkan sumbangan, minta anak-anak memberikan wang kepada mereka.

Selain itu, anda juga boleh melatih anak-anak berkongsi dan menderma di sekolah mereka. Beritahu mereka, meskipun jumlah yang didermakan kecil, namun besar maknanya kepada individu yang menerimanya.

Guna Teknologi Untuk Melatih Anak-anak

Langkah ini juga baik dalam usaha meningkatkan kesedaran dalam diri anak-anak. Mendorong mereka menonton filem dokumentari yang memaparkan kisah mengenai kesusahan atau nasib malang mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana alam atau kemalangan yang berlaku di seluruh dunia setidak-tidaknya dapat menyedarkan mereka.

Ambil peluang tersebut bagi melibatkan mereka untuk turut serta memberi sumbangan bagi meringankan beban dan penderitaan mangsa apabila ada pengumuman mengenai pemberian sumbangan melalui badan-badan tertentu. Dalam waktu yang sama, berbicara dengan mereka bagaimana perasaan dan betapa besar ertinya sumbangan yang dihulurkan kepada mangsa-mangsa tersebut.

Kebaikan Amalan Menderma

Menderma dengan ikhlas disertai penuh rasa niat untuk membantu akan dibalas dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Siapa tahu, kita mungkin juga akan didoakan oleh orang menerima derma kita itu.

Mampu menginsafkan diri dan bersyukur kerana masih ada insan di luar sana yang hidup dalam kesusahan dan serba kekurangan berbanding diri sendiri. Dalam waktu yang sama, ia juga mengajar diri agar lebih menghargai apa yang dimiliki dan tidak mensia-siakan harta dengan sewenang-wenangnya para perkara yang menjurus ke arah kemaksiatan atau perbuatan yang tidak baik.

Orang yang suka menderma kepada orang miskin, walau sering menderma, hartanya seakan-akan bertambah banyak dan bukannya semakin berkurangan. Yang pasti, rezeki akan datang kepadanya secara melimpah ruah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

KPJ Healthcare Alih Fokus TK2026 Kepada Penerapan Kesihatan Baharu Termaju

PENYEDIA perkhidmatan kesihatan swasta, KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare), mencatatkan prestasi kewangan yang memberangsangkan bagi Tahun Kewangan 2025 (TK2025)...

More Articles Like This