22 tahun hidup bergantung dengan bateri, kisah inspirasi Mahyana Mukhtar, wanita yang memakai perentak jantung (pacemaker) dinukil dalam sebuah buku bertajuk The Bionic Woman.
Jelas Mahyana atau lebih mesra dengan panggilan Coach Yana, penyakit Sick Sinus Syndrome dan liku-liku perjalanannya diabadikan menerusi 36 ceritera dengan setiap plot berbeza.
“Buku ini mengisahkan inspirasi kehidupan saya yang hidup dengan memakai bateri perentak jantung (pacemaker). Ini tahun ke-22 saya memakai pacemaker.
“Ketika itu saya sedang membuat sarjana dan jatuh sakit. Doktor sarankan supaya memakai pacemaker. Dahulu saya merupakan outdoor trainer dan motivator, namun Allah beri ujian. Memang tak sangka sebab pada persepsi saya, orang yang sakit jantung berpunca daripada pemakanan dan gaya hidup tidak sihat,” luahkan kepada Wanita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku The Bionic Woman sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2023.

Kisah ‘dating’ di wad kecemasan
Penuh drama dan emosi dalam setiap penceritaan, kongsi Coach Yana, sehingga kini detik terpaksa ‘berdating’ di wad kecemasan menjadi satu momen yang sukar dilupakan.
Malah wanita berusia 48 tahun ini turut berkongsi pengalaman menukar tiga bateri yang diumpamakan seperti tukar bateri ‘ironman’.
“Sebenarnya tiada perbezaan pun kepada fungsi tubuh badan apabila memakai pacemaker. Dan dalam buku ini saya selitkan juga kisah ‘dating’ di wad kecemasan. Pada waktu itu doktor katakan jika saya tidak pakai pacemaker, saya tidak boleh berkahwin. Macam mana nak jaga keluarga jika tak boleh jaga diri sendiri? Selepas masukkan bateri, Alhamdulillah kehidupan kembali normal, saya berkahwin dan dikurniakan empat orang anak.
“Setakat ini sudah tiga kali bateri ditukar dan yang terbaru pada awal Januari 2023. Proses tukar tu seperti tonton filem Ironman. Bateri itu seperti duduk di dalam poket badan,” kongsinya lagi.
Mengakui emosi dan psikologi diri amat terkesan dan luahan rasa pada buku nota ketika itu amat membantu, dia tidak menyangka semuanya bakal dibukukan satu hari nanti.
“Pada mulanya memang terkejut dan tidak sangka. Kenapa saya yang Allah pilih? Saya sangat down dan Ketika itu saya banyak bergantung kepada orang lain. Psikologi orang sakit ini dia kena bergantung harap dan sentiasa sedih. Emosi turun naik.
“Dalam buku ini juga saya kongsikan lukisan sewaktu saya di hospital pada tahun 2002. Saya conteng apa perasaan ketika itu, malah doa bapa dan mesej yang dihantar sahabat juga saya salin semula di dalam buku nota. Apabila kita luahkan di atas kertas, ia merupakan salah satu cara untuk mengubat kebosanan dan kawal emosi. Kita yang perlu kuatkan semangat dan seterusnya beri kesan kepada imunisasi tubuh.
“Buku ini sangat dekat di hati, saya mahu rasa ini turut terkesan kepada pembaca. Semua orang diuji dan apabila diuji, sebenarnya Allah memberi masa untuk kita berhenti sebentar daripada kesibukan hidup dan fokus kepada rawatan dan diri,” jelasnya lagi.

Detik Jantung Berhenti
Mahu berkongsi momen kehidupan dengan pembaca, kata Yana, seluruh kehidupannya selama 22 tahun memakai ‘bateri’ dengan kisah jantung terhenti, doktor bunian dan gambar bateri diabadikan untuk tatapan semua.
“Terdapat 36 ceritera dalam buku ini dan salah satunya mengisahkan bagaimana jantung berhenti dan saya terjatuh. Nasib saya baik kerana jantung berdegup kembali dan itu adalah momen ‘blackout’ pertama saya. Malah ketika itu sampai mak bawa saya jumpa bomoh dan saya kisahkan dalam bab ‘Doktor Bunian’.
“Saya juga sertakan gambar bateri yang dipakai di dalam buku ini. Bateri saya terletak di bawah tulang selangka dan disertai dengan wayar 58cm dan 53cm, berselirat di dalam badan dan bersambung ke jantung.
“Dahulu saya bergantung 68 peratus kepada bateri kerana jantung tak boleh mengepam secara normal. Namun sekarang kebergantungan saya menurun ke 44 peratus.
“Proses menulis buku ini antara yang paling lama iaitu 10 ke 12 tahun. Ini merupakan projek buku saya yang ke-12. Saya punya impian untuk berkongsi bagaimana hidup bergantung dengan bateri. Penulisan ini bermula sedikit demi sedikit dan mula agresif sewaktu saya menukar bateri ketiga awal tahun ini. Ketika itu saya kumpulkan semua kisah dan satukan di dalam sebuah buku. Saya sendiri tidak menyangka akan bukukan kisah ini kerana pada waktu itu, semua tulisan di dalam buku nota pada tahun 2002 hanyalah sekadar luahan rasa.”
Terdahulu, pelancaran buku The Bionic Woman tulisan Mahyana Mukhtar disempurnakan oleh Dr Abdul Raqib Abdul Ghani, Head Of Electrophysiology Unit Consultant Cardiologist.

