Tidak dinafikan gaya hidup dan budaya seseorang boleh mempengaruhi emosi dalam keluarga tambahan pula menantu ‘orang putih’.
Sudah pasti terdapat banyak jurang perbezaannya berbanding menantu Melayu tempatan. Terdapat ramai juga yang berkahwin campur tetapi menantunya lebih intim dengan mentua mereka berbanding mereka yang berkahwin sekampung.
Malah mereka lebih bahagia daripada pasangan yang makan sehidang tempoyak bersama. Inilah dinamakan jodoh dan kebahagiaan yang diukir dan dicipta sendiri oleh komunikasi kebahagiaan sesama keluarga.
Boleh dikatakan budaya kahwin campur sudah mula menjadi suatu trend atas beberapa faktor. Paling ketara adalah penghijrahan golongan muda ke negara Barat untuk melanjutkan pengajian. Daripada perkenalan biasa membawa kepada kawan rapat, intim dan seterusnya mengambil keputusan untuk diijabkabulkan.
Islam tidak melarang perkahwinan campur asalkan ia menurut kehendak syarak, seperti dinyatakan dalam ayat al-Quran. Larangan hanya terdapat di dalam perkahwinan dengan pasangan bukan Islam. Di dalam al-Quran, Allah berfirman:
“Janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehinggalah mereka beriman, sesungguhnya seorang hamba yang mukmin itu lebih baik daripada wanita yang musyrik meskipun kamu menyukainya. (al-Baqarah).
Begitu juga ayat lain berkenaan larangan menikahkan anak perempuan Islam dengan lelaki bukan Islam di mana ayatnya berbunyi:
“Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik (Dengan wanita-wanita Mukmin) sebelum mereka beriman.” (al-Baqarah: 221).
Kedua-dua ayat ini dibahaskan oleh ulama dalam kitab fikah mereka. Hakikatnya, Islam menyuruh kita memeriksa dan meneliti agama bakal menantu kita. Maksudnya di sini, sekiranya menantu ‘orang putih’ itu memeluk Islam, sekali gus tiada larangan untuk mereka menikahi anak kita.
Melihat dari sudut positif, secara individu, pasangan dan ahli keluarga yang terlibat dapat mengetahui dan mempelajari bangsa dan budaya lain. Selain itu, kadar maksiat seperti bersekedudukan juga dapat dikurangkan.
Daripada aspek masyarakat pula, kahwin campur dapat menyebarkan dakwah agama Islam. Apabila seseorang yang bukan Muslim ingin berkahwin dengan seorang Muslim, beliau mesti menukar agamanya kepada agama Islam.
Dengan cara ini, ajaran Islam yang murni dapat diajar dan diperkembangkan kepada bukan Muslim dengan harapan beliau akan mendapat hidayah daripada Allah.
Daripada aspek negara, kahwin campur dapat memupuk sikap perpaduan dan keharmonian di antara kaum-kaum di negara ini. Di samping itu, ekonomi juga dapat dijana melalui pelbagai upacara perkahwinan yang dijalankan.
Tetapi dari sudut lain termasuklah cara hidup dalam perkahwinan campur ini, ia terdedah kepada risikonya tersendiri. Menurut kajian, golongan yang memasuki gerbang perkahwinan campur ini nisbah kejayaannya hanyalah 3:10.
Keburukan melebihi kebaikan. Dahulu menerima menantu orang putih yang dikatakan kacak, berhidung mancung dan berkulit putih kemerahan menjadi kebanggaan bagi kedua-dua ibu bapa. Tetapi kini, dengan peredaran zaman, senario seperti ini sudah menjadi perkara biasa apabila semakin ramai rakyat tempatan berkahwin dengan orang putih.
Sesetengah perkahwinan ini ada yang membawa kepada kebahagiaan dan ada juga yang berpisah. Paling ketara masalah yang timbul hasil daripada perkahwinan campur ini adalah anak-anak mereka. Anak-anak menjadi mangsa keadaan hinggakan membawa kepada kesengsaraan kepada ibu atau bapa yang menuntut hak anak.
Bertambah merumitkan apabila ada yang sanggup bertindak melarikan diri dan anak mereka dari tinggal bersama pasangan mereka di Eropah. Misalnya, untuk pulang ke Malaysia dalam keadaan ketakutan dan terdesak.
Kegagalan perkahwinan boleh jadi disebabkan perbezaan budaya, agama dan cara seseorang itu dibesarkan di negara masing-masing. Banyak janji-janji manis dilontarkan bagi meyakinkan pasangan bahawasanya perkahwinan ini akan berjalan dengan lancar. Tetapi kesudahan tidak seperti yang diharapkan.
Asalnya mahu menarik pasangan mereka mendekati agama Islam. Tetapi asas kekuatan agama itu tidak kuat dan berakhir dengan perceraian. Semuanya bergantung kepada jodoh. Sebab itu pepatah Melayu ada menyebut, ‘Kalau jodoh itu kuat, tidak kemana, Bersatu dan bahagia juga akhirnya’.
Ada sebahagian melestarikan perkahwinan campuran ini berdasarkan kepada ‘asmara pendek’. Maknanya apabila sudah melalui satu tempoh singkat, masing-masing akan menyorot balik tuntutan budaya masing-masing. Ramai yang memeluk Islam hanya kerana cinta dan ingin berkahwin tetapi apabila berpisah lantas kembali kepada agama asal.
Suami mengambil peranan di sini dalam mendidik isteri agar benar-benar faham akan agama Islam yang suci ini.
Setiap individu perlu bersikap rasional dalam menangani masalah tersebut serta mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
Kesimpulannya, sikap itulah tunjang utama membentuk keluarga harmoni. Sama ada daripada pihak mentua mahupun menantu. Diterima akal bahawa budaya dan cara hidup mampu mempengaruhi hubungan kekeluargaan. Namun ianya bukan faktor utama penyebab persengketaan.
Ada nilai baik buruknya bermenantukan orang putih. Yang jelas, bukan pada ‘warna kulit’ si menantu menjadi ukuran kebahagiaan. Tetapi sikap dan toleransi itulah penguat ikatan mentua dan menantu. Tanpa perlu dilupa. Tuhan Maha Berkuasa, Allah pemegang anak kunci segala kebahagiaan yang paling berhak keatas jodoh hamba-hamba-Nya.