‘Honeymoon Cystitis’ rentap kemanisan fasa bulan madu

Dari Penulis

Bulan madu merupakan saat indah bagi pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga. Menghangatkan lagi fasa percintaan antara dua insan, rencana bulan madu pasti menjadi agenda pasangan pengantin baru usai majlis perkahwinan.

Dalam keasyikan melayari fasa bulan madu, siapa sangka jika mimpi indah yang dibayangkan sebelum ini ‘direntap’ dengan ‘bencana’ yang tidak diduga sehingga mengancam keindahan bulan madu anda. Antara masalah yang sering menghampiri pasangan pengantin baru adalah honeymoon cystitis salur kencing.

Dialami oleh kaum Hawa, gejala honeymoon cystitis sebagai biasa dialami oleh wanita yang tidak pernah menjalin hubungan intim.

Apa yang membimbangkan, jika tidak mendapat rawatan yang sewajarnya honeymoon cystitis boleh  mengganggu kualiti hidup seseorang wanita itu.

Apakah Honeymoon Cystitis?

Menurut Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Prof. Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi, honeymoon cystitis merupakan penyakit keradangan pundi kencing yang dialami oleh wanita. Istilah honeymoon bagi penyakit ini digunakan merujuk kepada situasi di mana ia lebih kerap berlaku di kalangan pasangan yang menjalani fasa bulan madu.

Berbanding lelaki, wanita lebih terdedah mengalaminya kerana golongan ini memiliki saluran uretra (saluran yang menyalirkan air kencing dari pundi kencing ke luar tubuh) lebih pendek.

Memandangkan ‘mangsanya’ adalah wanita, maka tidak hairanlah sekiranya golongan ini menaruh perasaan curiga kepada suaminya. Tidak kurang juga ada yang turut menuding jari menyalahkan suami yang kononnya dianggap memindahkan penyakit seksual kepada mereka.

Dalam hal ini, beliau menasihatkan pasangan supaya tidak cepat melatah, panik atau membuat andaian sendiri. sebaiknya, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

Apakah Puncanya?

Honeymoon Cystitis dikatakan berpunca daripada penyebaran dan pembiakan bakteria E.coli. Tempoh masa dan kekerapan melakukan hubungan intim dipercayai boleh memburukkan lagi keadaan.

Malah, honeymoon cystitis juga boleh berlaku apabila jari berada dalam keadaan tidak bersih, penis atau benda lain yang baru menyentuh bahagian dubur yang kemudian terus masuk ke bahagian vagina. Bukan itu sahaja, wanita yang mencuci alat sulitnya dari arah belakang ke bahagian hadapan dan bukan sebaliknya turut berisiko mengalaminya.

Rawatan

Sekiranya individu terbabit mengalami gejala di atas, mereka dinasihatkan supaya segera berjumpa doktor. Selain diberi ubat antibiotik khas untuk membersihkan luka pada bahagian iritasi berserta ubat penahan sakit, pasangan turut dinasihatkan supaya menghentikan seketika daripada melakukan hubungan intim.

Langkah ini perlu untuk proses penyembuhan dan pasangan kembali bisa menikmati keasyikan bulan madu tanpa gangguan atau kesakitan.

Langkah Pencegahan

Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan detik indah bulan madu anda terganggu, sebaiknya langkah pencegahan di bawah perlu dipraktikkan. Antaranya:

● Pastikan tubuh atau anggota badan berada dalam keadaan bersih sebelum melakukan hubungan intim.

● Peka pada geselan yang berlaku terutama jika terasa ia menghampiri pundi kencing.

● Buang air kecil sebelum atau sesudah melakukan hubungan intim. Langkah ini membantu mengeluarkan bakteria dari uretra.

● Minum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari.

Simptom / Tanda

Antara simptom atau tanda seseorang wanita itu mengalami honeymoon cystitis adalah:

✔ Sakit pada bahagian alat sulit lebih-lebih lagi sewaktu membuang air kecil.

✔ Kerap membuang air kecil.

✔ Pundi kencing ter asa mencengkam/ rasa tekanan pada bahagian pundi kencing.

✔ Kencing kotor.

✔ Kencing bercampur darah ( apabila keadaan menjadi kritikal).

✔ Boleh menyebabkan demam secara tiba-tiba.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Permintaan emas meningkat, KESS sasar 30 cawangan baharu tahun ini!

KEDAI Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS), jenama yang gah dengan jolokan 'Soorga Emas Preloved', terus mengorak langkah agresif...

More Articles Like This