DUA jaringan penyerang Darren Lok membantu Sabah FC mengekalkan rentak cemerlang pada Piala AFC, selepas membenam kelab Indonesia PSM Makassar 5-0, dalam aksi kedua Kumpulan H di Stadium Captain 1 Wayan Dipta di Bali, hari ini.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang mengasak kubu PSM Makassar sejak perlawanan bermula, hanya memerlukan enam minit untuk mengejutkan tuan rumah, apabila Darren menanduk masuk hantaran pemain sayap dari Indonesia Saddil Ramdani.
PSM Makassar kemudian mendapat peluang terbaik mereka bagi menyamakan kedudukan, namun tandukan tonggak serangan dari Portugal Adilson Silva, pada minit ke-20 melambung tinggi.
Saddil sekali lagi menghasilkan hantaran berkualiti tinggi dari sebelah kanan padang, yang mudah ditanduk pemain pertahanan dari Brazil Gabriel Peres pada minit ke-36, sekali gus menjadikan Sabah selesa dengan kelebihan dua gol menuju ke bilik persalinan.
Darren terus menjadi duri dalam daging buat lawan, apabila memanfaatkan hantaran dari Saddil yang juga gol keempat peribadi pada Piala AFC kali ini, seminit selepas babak kedua bersambung.
BERITA BERKAITAN Piala AFC: Terengganu FC berjaya bawa pulang satu mata, seri 1-1 dengan Bali United
Malang menimpa pasukan kendalian Bernardo Tavares apabila anak buahnya tempang dengan 10 pemain, selepas penjaga gol Reza Arya Pratama membentes Saddil dalam situasi satu lawan satu pada minit ke-57.
Kesempatan tersebut digunakan Sabah untuk menambah lagi derita juara bertahan Liga 1 Indonesia tersebut, apabila sepakan percuma pemain tengah Stuart Wilkin, menerjah jaring pada minit ke-73.
Pemain gantian Muhammad Farhan Roslan, melengkapkan malam gemilang mereka dengan menolak masuk lorongan dari sebelah kiri pemain sayap dari Sepanyol Miguel Cifuentes, pada masa kecederaan babak kedua.
Sementara itu, kelab dari Singapura Hougang United bangkit dari ketinggalan, untuk menang tipis 2-1 ke atas pasukan dari Vietnam Hai Phong FC, dalam satu lagi aksi Kumpulan H di Stadium Jalan Besar.
Penyerang dari Serbia Dorde Maksimovic, muncul wira Hougang United apabila meledak dua gol masing-masing pada minit ke-82 dan masa kecederaan babak kedua, bagi memadam jaringan pendahuluan pelawat oleh Yuri Mamute pada minit ke-56.
Sabah kini memimpin Kumpulan H dengan enam mata, meninggalkan Hougang United (3 mata) di kedudukan kedua diikuti Hai Phong (3 mata) dan PSM Makassar kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata.
— BERNAMA

