PENGACARA terkenal, Elly Mazlein atau lebih mesra dengan gelaran Kak Lina Pom Pom mengundurkan diri sebagai pengacara program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) atas faktor peribadi.
Kenyataan itu telah disahkan oleh Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad yang menghormati sepenuhnya keputusan pengacara itu.
“Tiada lagi Kak Lina atau Elly Mazlein dalam ASGV. Selepas memberi pertimbangan secara teliti, dengan rasa berat hati Astro ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina dari program ASGV atas hal peribadi.
“Walaupun berasa sedih, pihak Astro menghormati keputusan terbabit. Pihak Astro ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang terbabit program itu,” ujarnya.
Sementara itu, menerusi satu kenyataan kepada media, Elly mengesahkan perkara itu dan memohon maaf kerana dia tidak dapat mengacarakan program itu lagi.
“Kak Lina mohon maaf kerana tidak dapat mengacarakan ASGV atas sebab-sebab peribadi. Kak Lina ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong.
“Kak Lina amat menghargainya. Insya-Allah kita doakan program ini terus berjaya,” jelas pemenang Pengacara TV Popular itu.
Sebelum ini, terdapat segelintir netizen yang menyifatkan gadingan pengacara Nabil dan Jihan sudah cukup buat menggamatkan program realiti tersebut.

